Header Ads

Beban subsidi? kerajaan naikkan bayaran makanan asrama sekolah

Dengan alasan, kerajaan terpaksa menanggung bebanan subsidi yang besar jika kadar subsidi daripada RM14 kepada RM16 sehari bagi setiap pelajar diteruskan bagi Bantuan Makanan Asrama.

Maka terpaksalah kerajaan tidak membantu rakyatnya sendiri yang berada di asrama untuk meringankan beban.

Laporan media menyebut, Kementerian Pelajaran telah membuat pindaan terhadap pelaksanaan bantuan makanan asrama sekolah tahun ini disebabkan kekangan peruntukan bajet mengurus bagi kementerian.

Menurut Tan Sri Dr Zulkurnain, kementerian memutuskan untuk menaikkan bayaran Bantuan Makanan Asrama daripada RM1 kepada RM3 sehari bagi pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan.

Manakala bagi ibu bapa yang berpendapatan kurang daripada RM5,000, bayaran RM1 sehari dikekalkan manakala pelajar di kalangan keluarga miskin dikecualikan sepenuhnya seperti amalan sebelum ini.

Pindaan itu bagi mengelak daripada kerajaan terpaksa mengeluarkan subsidi RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion bagi menanggung Bantuan Makanan Asrama.

Jika dilihat secara rasional terhadap laporan itu, kedudukan ekonomi Malaysia berkemungkinan telah berada di paras yang membimbangkan. Dalam bahasa yang mudah, ekonomi tenat. Bermakna apa yang didakwa selama ini bahawa ekonomi kita sedang berkembang dan stabil hanya retorik untuk mengelabui rakyat bawahan.

Jika tidak, kenapa Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan berharap agar semua pihak dapat sama-sama berganding bahu memikul cabaran dan tanggungjawab dalam merealisasikan agenda Pendidikan Nasional berikutan kedudukan kewangan.

Kalau dah tenat, kenapa dibiarkan sahaja pemimpin atasan berboros sesuka hati dengan kehidupan mewah, melancong ke luar negara bersama keluarga dengan sesuka hati, mengumpul koleksi-koleksi kereta mewah dan pelbagai pembaziran ikut suka hati mereka.

Ajar rakyat agar berjimat, tetapi pemimpin pula tidak pandai untuk berjimat. Apa salahnya jika ekonomi negara dalam keadaan tenat, semua menteri kabinet bersedia untuk membuat potongan beberapa peratus daripada gaji beribu-ribu mereka yang dibayar oleh rakyat untuk kebaikan bersama. Bukan rakyat sahaja yang perlu merasa keperitan menanggung bebanan ekonomi tenat, malahan pemimpin juga harus menanggungnya.

Segala kenaikan harga barang, kenaikan yuran, kenaikan cukai dan sebagainya, semuanya terbeban atas kepala rakyat. Kerajaan walaupun terpaksa menanggung subsidi kerana rakyat, berbaloilah kerana itu hak rakyat dan menjadi tugas pemimpin melindungi rakyat.
Dikuasakan oleh Blogger.