Header Ads

Tiger Woods tidak risau kedudukan nombor satunya dirampas Mickelson

PONTE VEDRA, Florida: Tiger Woods, yang gagal menyerlah dalam Kejohanan Quail Hollow minggu lalu, berkata beliau tidak akan berasa risau jika Phil Mickelson menamatkan kedudukannya sebagai pemain golf utama selama 258 minggu.

Juara Masters Amerika Syarikat, Mickelson, boleh mengguling Woods, juara dalam 14 kejohanan penting dunia jika beliau menjuarai Kejohanan Pemain-Pemain di Florida, dan Woods pula mengakhiri kejohanan tersebut di luar kelompok lima pemain utama.

"Saya pernah mengalami keadaan seperti itu", jelas Woods dalam sidang akhbar sebagai merujuk kejayan David Duval dan Vijay Singh ke atasnya.

"Saya akan berusaha menjadi pemain utama dunia tetapi anda perlu memenangi kejohanan untuk mengekalkan kedudukan itu. Malangnya, saya tidak melakukannya sejak kebelakangan ini.

"Keadaan seperti ini telah berlanjutan sepanjang 13 tahun. Kami saling mencabar kedudukan masing-masing.

"Tetapi buat masa ini, beliau telah memenangi beberapa kejohanan dan saya harap saya akan kembali memenangi kejohanan pada masa depan", Woods memberitahu.

Woods, yang kembali menyertai kejohanan kompetitif selepas mengundurkan diri selama lima bulan selepas terbongkar skandal seksnya dengan beberapa wanita, kelihatan tidak ceria sepanjang muncul selama 21 minit di depan pihak media.

Pemain golf dari Amerika Syarikat itu kemudian memberitahu tentang masalah yang dihadapi dalam usaha membaiki imejnya.

"Saya masih berdepan dengan mereka yang bertanyakan tentang kehidupan saya sejak enam bulan lalu.

"Saya mengalami dua pengalaman berbeza yang sukar dalam hidup saya. Pertama, apa yang sedang saya mengalami ini dan kemudian ketika saya kehilangan ayah saya pada 2006.

"Pengalaman terbaru ini lebih membebankan. Bayangkan, anggota paparazzi sentiasa mengekori saya.

"Sebelum ini, saya tidak pernah menghadapi sebarang gangguan menjelang menghadapi sebarang kejohanan. Helikopter tidak akan berterbangan untuk merakamkan pergerakan anda. Ini yang berlaku sekarang.

"Bagaimanapun, saya akan berusaha membuat penyesuaian. Ramai orang apabila mereka menjalani rawatan, mereka dapat melakukannya tanpa diketahui umum.

"Tetapi keadaan saya sungguh berbeza. Ini membuat saya berada dalam kedudukan yang lebih sukar", Woods menerangkan.

Woods kemudian menolak tinjauan Sports Illustrated yang mendedahkan 24 peratus daripada rakan-rakannya dalam lilitan profesional mengesyaki beliau ada menggunakan dadah dalam kejohanan-kejohanan yang lalu.

"Saya tidak pernah mengambil dadah untuk membantu tahap persembahan saya tetapi setiap orang berhak memberikan pandangan masing-masing", jelas Woods.

Beliau juga menafikan desas-desus yang menyebut beliau telah mengetepikan Hank Haney sebagai jurulatihnya menyusuli persembahan hambar dalam Kejohanan Quail Hollow.

"Saya masih bersama Haney", Woods menegaskan. -Reuters
Dikuasakan oleh Blogger.