Header Ads

Kuota bumiputera tiada dalam MBE - Presiden Dewan Perniagaan Melayu

Kuota untuk bumiputera tidak ada dalam model baru ekonomi (MBE), kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur, Datuk Syed Amin Aljefrri.

"Tidak pernah kita dengar Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan MBE mempunyai kuota untuk bumiputera.

"Saya tidak tahu dalam konteks mana Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bercakap sehingga tidak mahu kuota untuk bumiputera dalam MBE kerana dasar itu memang tidak ada kuota untuk bumiputera.


"Mungkin beliau bercakap kuota dalam Barisan Nasional (BN) dan (itu) saya tidak tahu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Syed Amin mengulas kenyataan Dr Chua semasa kongres ekonomi Cina anjuran MCA di ibu negara, Sabtu lalu yang mempersoalkan sistem kuota untuk usahawan Bumiputera dalam MBE.

Presiden MCA itu sebaliknya mahu kerajaan mementingkan sistem merit berbanding kuota bagi memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera mencapai matlamat.

Bagaimanapun, Syed Amin tidak mempertikaikan mengenai merit yang menurutnya bermaksud "terpakar dan terpandai."

Katanya, perkara ini perlu diberi perhatian tetapi menjelaskan bidang perniagaan tidak mengutamakan kelulusan sebaliknya memerlukan bakat dan kesungguhan.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar sebaliknya mendakwa, Umno dan MCA mahu mengulangi peristiwa tahun 1987 di mana ketika itu sokongan pengundi Melayu dan Cina kepada kedua-dua parti itu merudum.

"Perbalahan ini dirancang sama seperti tahun 1987. Umno nak tunjuk mereka hero Melayu, MCA nak jadi hero Cina.

"Tahun 1987, Datuk Seri Najib Tun Razak bergaduh dengan Tan Sri Lee Kim Sai tetapi tahun 2010 Tan Sri Muhyiddin Yassin bergaduh dengan Dr Chua.

"Skripnya sama, tujuannya sama. Mereka berlakun bergaduh supaya orang Melayu sokong semula Umno dan orang Cina menyokong MCA," katanya. -FMT
Dikuasakan oleh Blogger.