Header Ads

Krisis BN Sabah: Timb. Ketua Menteri Sabah umum keluar parti LDP

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Peter Pang En Yin mengumumkan keluar Parti Liberal Demokratik (LDP) hari ini (semalam) rentetan krisis antara parti itu dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman minggu lalu.

Surat peletakan jawatannya dialamatkan kepada Presiden LDP Datuk Liew Vui Keong telah dihantar ke ibu pejabat parti itu oleh setiausaha politik beliau pagi tadi.

Pang, yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah, turut menawarkan untuk meletak semua jawatan dalam kerajaan tetapi tidak sebaagai Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Karamunting.

Liew memberitahu, Pang mengambil keputusan itu ekoran pendirian LDP terhadap Musa yang juga Pengerusi BN negeri awal minggu lalu.


Pang juga Naib Presiden LDP.

Menegaskan tentangannya terhadap pendirian LDP, Pang berkata: “Satu-satunya jalan yang boleh saya ambil ialah meninggalkan parti dengan cara terhormat.”

Kata Pang, beliau sedar bahawa keputusannya keluar dari LDP akan memberi kesan ke atas kedudukannya dalam kerajaan.

Pang menawarkan untuk melepaskan kesemua jawatan.

Wakil rakyat ini menambah beliau masih berhasrat untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat BN.

“Saya minta Ketua Menteri memberi saya panduan yang sewajarnya,” kata beliau pada sidang media hari ini.

“Saya belum bercakap dengan beliau (Musa) tetapi saya telah menyediakan surat (letak jawatan) dan berharap dapat berjumpa beliau hari ini,” kata Pang.

Beliau menyifatkan keputusannya untuk keluar dari parti itu sebagai sesuatu yang sukar tetapi tindakan itu membolehkan beliau untuk ‘sekurang-kurangnya membuktikan kewarasannya.”

Pada Ahad lalu, Musa berkata Umno Sabah sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada Ketua Menteri yang mewakili parti komponen BN yang lain di bawah sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, berharap parti komponen BN yang lain turut berbuat demikian kepada Ketua Menteri daripada Umno.

Musa, 59, dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah ke-14 pada 27 Mac 2003, menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat yang merupakan presiden LDP ketika itu di bawah sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri.

Sehari selepas Musa mempengerusikan mesyuarat BN negeri Timbalan Presiden LDP Datuk Chin Su Phin yang mempertikaikan kepimpinannya.

Dalam kenyataannya Selasa lepas, Chin berkata LDP tidak dapat bekerjasama dengan Musa, namun akan terus menyokong dan bekerjasama dengan Umno, selain memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta gagasan 1 Malaysianya.

Pang yang kelihatan sedih pada sidang akhbar itu, berkata beliau telah memaklumkan terlebih dahulu kepada Liew tentang keputusannya itu dan telah menjelaskan kepada Presiden LDP itu mengenai sebab beliau meninggalkan parti itu.

Katanya beliau tidak hadir pada mesyuarat BN Sabah dan tidak dirujuk berhubung keputusan untuk menentang Musa.

“Sekiranya saya dimaklumkan, saya tentu akan memberi cadangan agar melupakan sahaja perkara itu, demi kepentingan rakyat, untuk melihat keamanan dan kestabilan dalam kerajaan BN bagi mencapai kemajuan,” katanya.

Pang enggan mengulas sama ada beliau akan menyertai parti BN yang lain.

Pada Ahad lepas, Liew yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga tidak hadir pada mesyuarat BN 24 Ogos, berkata beliau bersedia bertemu Musa berhubung pendirian LDP itu.

Pang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah pada Mei tahun lepas. -Malaysian Insider
Dikuasakan oleh Blogger.