Header Ads

Liverpool dimalukan pendatang baru

LIVERPOOL: Liverpool diaibkan di tempat sendiri oleh pendatang baru Liga Perdana Inggeris, Blackpool 2-1.

(Pemain Blackpool, Charlie Adam (kiri) menyempurnakan sepakan penalti sewaktu perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Liverpool menentang Blackpool di Anfield. Liverpool tewas 1-2. -foto AFP)

Charlie Adam meletakkan Blackpool di hadapan pada minit ke-24 menerusi sepakan penalti selepas Glen Johnson mengasari Luke Varney.

Liverpool yang sudah kehilangan Fernando Torres seawal minit kesepuluh setelah mengalami kecederaan tersentak dengan gol tersebut.

Derita Liverpool bertambah apabila Varney menyumbat masuk gol kedua Blackpool sebelum separuh masa pertama berakhir.

Hantaran bola yang cantik oleh Gary Taylor-Fletcher disambar oleh Varney sebelum dia dengan tenang menyumbat gol melepasi Pepe Reina.

Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, Liverpool mengatur serangan bertubi-tubi kearah pintu gol Blackpool.

Kerja keras mereka berhasil apabila pemain pertahan, Sotirios Kyrgiakos menanduk kencang bola hasil sepakan percuma Steven Gerrard untuk menewaskan penjaga gol Blackpool, Matthew Gilks.

Selepas gol tersebut, Liverpool seolah-olah mendapat suntikan tenaga dengan beberapa percubaan.

Kecekapan Gilks nampak sukar untuk ditembusi buat kali kedua.

Joe Cole hampir-hampir menyamakan kedudukan setelah percubaannya hanya tersasar sedikit dari tiang gol.

Keputusan kekal sehingga wisel penamat dan Blackpool meraih kemenangan pertama di Anfield sejak tahun 1967. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.