Header Ads

Pemilihan parti: Hentikan keUMNOan dalam PKR

WarkahDaily - Bukan PKR aje yang boleh terjejas jika krisis itu tidak diberi perhatian, bahkan parti abang-abang mereka turut menerima tempiasnya atas nama Pakatan Rakyat (PR).

Mungkin ada yang berpendapat, ia hanya masalah keluarga dalam PKR tetapi atas dasar keluarga yang besar, Pakatan Rakyat juga terlibat.

Nasihat kepada yang masih lagi tak lekang dari sifat keUMNOan tu, belajar-belajarlah ubah stail pulak. Sekarang kita bukan lagi dari parti sebelah sana. Kita perlu tonjolkan kelainan dalam Pakatan.

Kelainan bukan hanya dalam pemilihan yang memberi hak kepada semua ahli untuk memilih pemimpin tetapi perangai pemimpin yang hendak dipilih juga perlu berubah dan berbeza dari tempat/ rumah lama kita.

Jangan biarkan rakyat akan menghukum kita dek kerakusan segelintir yang tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan kekuatan peribadi tanpa memikirkan parti.



(Sinar Harian) Pergaduhan: beri kesan buruk terhadap imej parti - Pengerusi PKR N. Sembilan

Pergaduhan yang tercetus pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di beberapa cabang seluruh negara baru-baru ini, sedikit sebanyak memberi kesan buruk terhadap imej parti.

Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Bahrin Abbas berkata, pergolakan itu juga dilihat sebagai tidak sopan.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, masyarakat sudah pasti akan membuat persepsi buruk terhadap parti.

“Justeru, saya berharap isu ini tidak perlu diperbesar-besarkan kerana setiap yang berlaku itu mungkin ada hikmahnya.

“Kita perlu melihat punca kejadian bagi mengenal pasti masalah yang sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis Aidilfitri, anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai dengan kerjasama Pakatan Rakyat Negeri Sembilan di Taman Seri Pulai 3, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook dan ADUN Sikamat, Amiruddin Harun.

Kamarul Bahrin berkata, demi kestabilan parti, semua ahli diharapkan dapat memberi kerjasama yang baik sepanjang mesyuarat pemilihan cabang diadakan.

“Walaupun ada pihak yang tidak puas hati dengan setiap keputusan atau sesuatu tindakan yang dibuat ketika mesyuarat pemilihan, mereka (ahli) seharusnya bersabar dan mengambil sikap berbincang bagi mengatasi setiap perselisihan.

“Kita tidak sepatutnya bertindak mengikut perasaan kerana ia hanya akan menjejaskan dan memburukkan lagi keadaan,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.