Header Ads

Ribuan mangsa gunung Merapi kembali ke kediaman

SUKOHARJO, Indonesia: Dengan barang-barang dilonggok atas motosikal dan trak, ribuan penduduk pulang semula ke rumah mereka selepas letusan Gunung Merapi mulai reda semalam.

Namun, para saintis berkata gunung berapi itu masih satu ancaman selepas pekerja penyelamat menjumpai 17 lagi mayat yang tertimbus abu akibat letusannya, menjadikan angka korban kini 259 orang.

Para pegawai berkata 174 mangsa mengalami kecederaan berat, manakala 85 lagi cedera ringan.

“Letusan masih berlaku tetapi kekuatannya semakin berkurang,” kata pakar vulkanologi, Subandrio kepada agensi berita AFP.

Lebih 30,000 penduduk meninggalkan 639 pusat pemindahan sejak pemerintah mengurangkan zon larangan 20 kilometer di sekitar Gunung Merapi sebanyak separuh di beberapa daerah.

Seorang pegawai, Sutopo Purwonugroho, berkata penduduk kampung di kem pelarian sudah mula pulang dan ia meredakan kesesakan yang berlaku sebelum ini.

“Kami dapat tahu jumlah pelarian berkurang kepada 367,548 orang berbanding 399,403 orang yang dicatat pada Ahad lalu,” kata beliau seperti yang dilapor agensi Xinhua.

Menurut beliau, kawasan larangan di kebanyakan tempat di daerah Magelang sudah dikurangkan dari 20 kilometer kepada 15 kilometer, manakala di Klaten dari 20 kilometer kepada 10 kilometer.

Seorang penduduk Sukoharjo, di lereng selatan Gunung Merapi, Sukirah, 57 tahun, sudah mengalih tanaman padinya selepas pulang.

“Saya gembira kerana dapat pulang dan menjalani kehidupan seperti biasa,” kata beliau kepada agensi berita AFP.

Gunung Merapi meletuskan gas dan abu setinggi empat kilometer kelmarin tetapi Subandrio berkata letusan itu 'kecil' berbanding 14 km yang dicatat sebelumnya.

“Adalah selamat untuk penduduk pulang ke kampung asal saja mereka berada di luar zon berbahaya,” tegasnya. -Agensi
Dikuasakan oleh Blogger.