Header Ads

Darjah Kerabat Ku Li ditarik balik

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menarik balik Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) (Al-Yunusi) yang telah dianugerahkan kepada Tengku Razaleigh Hamzah berkuatkuasa 2 Disember lalu.

Turut ditarik balik ialah Tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.) (Al-Muhammadi I) yang telah dianugerahkan kepada Tengku Razaleigh berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dalam satu kenyataan akhbar di Istana Balai Besar di sini, semalam (gambar) juga memaklumkan penarikan Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K) (Al-Ismaili II) serta Pelantikan Jaksa Pendamai (J.P.) yang telah dianugerahkan kepada Dr Yaacob Hussain Merican, berkuat kuasa 2 Disember lalu.

“Kedua-dua mereka yang terbabit dalam penarikan tersebut telah pun dimaklumkan melalui surat yang telah diserahkan (serahan tangan) pada 3 Disember 2010.

“Ada pun penarilkan balik (penganugerahan dan pelantikan) ini adalah hak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Al-Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara baginda jua, sebagaimana penarikan-penarikan balik darjah-darjah kebesaran kepada beberapa orang daripada penerima anugerah sebelum daripada ini, mengikut kaedah yang sama, ” katanya.

Tutut hadir ialah Pengelola Istana D’Raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Hadir sama Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohamad.

Dalam perkembangan berkaitan, Aiseri yang merujuk kepada kenyataan akhbar yang telah dikeluarkan Razaleigh berkata: “Dan Tuanku sudah tentulah ada sebab-sebab tersendiri yang lain menyebabkan penarikan balik ini dibuat.

Sementara itu, Shukri pujla mendakwa, sejauh mengenai Yaacob bahawa ‘dia’ sendiri yang terbabit itu tahu apa yang diucapkan oleh beliau di Mahkamah Persekutuan, secara terbuka, semasa prosiding berjalan pada 25 Oktober lalu.

“Dia sedar apa yang dia ucap. Ucapan itu tidak sepatutnya keluar daripada seorang yang profesional,” katanya.

Beliau mendakwa, Yaacob dalam kes itu adalah peguam, yang hadir sebagai peguam kepada plaintif dalam kes tersebut iaitu peguam kepada Tuanku Sultan Ismail Petra, yang prosidingnya bermula pada 25 Oktober lalu.

Beliau mendakwa, seseorang peguam boleh mewakili mana-mana orang yang difikir bahawa dia mampu untuk mengendalikan kes tersebut.

“Tetapi dalam sifat profesional, beliau tidak patut mengeluarkan suatu kenyataan terutamanya terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, secara tidak profesional,” dakwanya.

Mengulas kes satu lagi yang telah disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina, 14 September lalu, Shukri meminta supaya dirujuk kepada keratan akhbar berkaitan.

Akhbar itu mendakwa bahawa Razaleigh berkata “kerana sultan masih ada, dan tidak meninggalkan negeri atau negara melebihi satu tahun atau secara sukarela untuk mengundur diri, jadi pengumuman Pemangku Raja sebagai Sultan adalah diragui,” ujarnya. -HRKH
Dikuasakan oleh Blogger.