Header Ads

Elia Suhana masih sah sebagai isteri kedua Sultan Ismail Petra

Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu menolak permohonan pengesahan lafaz cerai bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra terhadap isteri keduanya, Cik Puan Elia Suhana Ahmad.

Oleh itu, Elia Suhana masih sah sebagai isteri kedua Sultan Ismail Petra.

Hakim Syarie, Abdullah Man menolak tuntutan pengesahan lafaz cerai dikemukakan plaintif, Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, yang didakwa daripada Sultan Ismail Petra terhadap Elia Suhana.

“Plaintif boleh kemuka permohonan baru berdasarkan fakta baru mengikut hukum syarak dan undang-undang dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Nik Rorhana diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari, sementara Elia Suhana diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan dan Roshdan Sujak Rafie.

Pada 9 Mac lalu, Nik Rorhana, 60, fail permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap Elia Suhana yang dikahwini bekas Sultan Kelantan itu hujung 2007.

Lafaz cerai didakwa dilafazkan baginda ketika di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, pada 12 Februari lalu di hadapan beberapa saksi, termasuk Nik Rorhana.

Hakim Abdullah berkata, dalam perbicaraan kes itu terdapat tiga isu dibangkitkan, iaitu, adakah pihak ketiga (Nik Rorhana) boleh fail pengesahan lafaz cerai atau tidak.

“Dalam kes ini mahkamah dapati plaintif berhak fail pengesahan perceraian bagi pihak Sultan Ismail Petra.

“Isu kedua, adakah dakwaan plaintif perceraian berlaku di Singapura disabitkan atau tidak. Mahkamah dapati plaintif gagal kemukabukti dan saksi yang cukup,” katanya.

Menurutnya, dalam isu kedua itu mahkamah dapati saksi pertama, seorang doktor, beri keterangan jelas mengenai lafaz cerai itu, tetapi saksi kedua gagal memuaskan hati mahkamah kerana tidak tahu mengenai perceraian tersebut.

Katanya, yang terakhir adakah mahkamah boleh ambil kira pertemuan beliau dengan Sultan Ismail Petra, 30 Oktober lalu di Istana Mahkota, Kubang Kerian, kerana kehadiran beliau sebagai saksi, bukan hakim.

Sementara itu, Zainul Rijal, ketika ditemui berkata, pihaknya akan mendapatkan arahan selanjutnya daripada Sultan Ismail Petra, sama ada memfailkan permohonan semula atau tidak.

“Saya akan menghadap baginda secepat mungkin,” katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.