Header Ads

Nasri lonjak Arsenal, Chelsea terus kempunan

Kemenangan tipis 2-1 ke atas Fulham sudah cukup untuk melonjakkan Arsenal ke persada EPL sambil dibantu aksi Chelsea yang terus hambar.

(Samir Nasri (dua daripada kanan) cuba melepasi halangan Mark Schwarzer (kuning) berada dalam kelas tersendiri ketika membantu pasukannya menjinakkan Fulham di Stadium Emirates. -foto AFP)

Samir Nasri muncul watak penting pasukannya dengan menyumbat satu gol dalam pada setiap babak. Gol pembukaannya hasil gerakan solo dan ketenangannya di depan pintu dipadamkan penyerang lawan, Diomansy Kamara angkara kelalaian barisan pertahanan sebelum berakhir babak pertama.

The Gunners terus mengasak kubu lawan bagi memburu kemenangan dan Samir Nasri sekali lagi menjadi duri dalam daging dalam pertembungan seteru setempat itu dengan menyempurnakan umpanan Robbie van Persie.

Di Stamford Bridge, Chelsea semakin tidak menentu apabila gagal meraih mata penuh ketika bertemu Everton. Kehadiran John Terry tidak membawa perubahan nasib kepada penyandang juara itu yang menyaksikan mereka berputih mata selepas Jermaine Beckford menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan.

Didier Drogba memberi harapan kepada The Blues buat pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu menerusi sepakan penalti selepas Nicolas Anelka dijatuhkan dalam kotak penalti pada separuh pertama.

Keputusan itu menjadikan Chelsea tergelincir ke tangga ketiga dengan perbezaan dua mata dengan Arsenal yang mengumpul 32 mata sambil Manchester United di kedudukan kedua kerana tidak bermain.

Carlos Tevez menjaringkan gol kesepuluh untuk membantu Manchester City berada dikalangan empat pasukan terbaik apabila gol tunggal pada minit-4 itu sudah memadai.

City gagal menambah bilangan jaringan ketika menewaskan Bolton Wanderers yang liat selain ketumpulan jentera serangan. Dua percubaan City mengenai palang gol selain kesilapan Joe Hart nyaris membawa padah buat pasukan itu namun Vincent Kompany berada di kedudukan terbaik untuk menyelamatkan keadaan.

Di St Andrew's, Harry Redknapp sudah pasti berang dengan anak-anak buahnya kerana melepaskan gol pada saat akhir untuk diikat 1-1 dengan Birmingham City.

Sebastien Bassong membuka tirai jaringan ketika suasana kelam-kabut di dalam kotak penalti. Spurs mempersiakan banyak peluang di separuh masa pertama dengan Aaron Lennon dan Gareth Bale begitu aktif di bahagian sayap.

Birmingham memperbaiki penampilan mereka selepas kemasukan Nikola Zigic yang akhirnya menjaringkan gol penyamaan.

Selepas dibelasah minggu lalu, Blackburn Rovers berjaya memulihkan semangat mereka untuk menang 3-0 ke atas Wolves dengan Morten Gamst Pedersen menjadi inprirasi pasukannya.

Wigan Athletic gagal keluar daripada zon penyingkiran selepas seri 2-2 dengan Stoke City di tempat sendiri. -D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.