Header Ads

Pasangan kekasih cuba lari elak dicekup

KULIM: Gara-gara ingin meloloskan diri daripada Pegawai Penguat Kuasa Agama, Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) yang membuat serbuan di sebuah rumah tumpangan di sini kira-kira jam 11.50 malam kelmarin, sepasang kekasih cuba melarikan diri melalui tingkap bilik mereka.

Melihatkan mereka berada di tingkat satu dan bangunan rumah tumpangan itu dikepung, pasangan itu terpaksa akur dengan arahan PADK dan membuka pintu bilik mereka.

Menurut jurucakap PADK, pasangan terlibat berusia 18 dan 20 tahun dan menginap di rumah tumpangan itu untuk melakukan maksiat.

“PADK mendapat maklumat daripada lelaki India yang tinggal berhampiran dengan rumah tumpangan murah itu kira-kira jam 11 malam. Lima anggota penguat kuasa PADK dibantu empat orang awam telah pergi ke rumah tumpangan itu untuk membuat pemeriksaan. Setelah memperkenalkan diri kepada tauke rumah tumpangan itu, PADK telah pergi ke bilik di tingkat atas dan meminta pasangan itu memperkenalkan diri tetapi ia tidak diendahkan.

"PADK terpaksa memanjat dan melihat keadaan bilik yang berkunci dan gelap dengan menggunakan tangga serta mendapati pasangan kekasih itu cuba melarikan diri melalui tingkap bilik. Menyedari bilik itu berada di tingkat satu dan telah dikepung oleh penguat kuasa PADK, pasangan itu akur dan membuka lampu serta pintu bilik,” katanya.

Menurutnya, dari pemeriksaan dibuat mendapati pasangan itu bukanlah remaja tempatan.

Selain itu katanya, mereka mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan mahram dan datang ke rumah tumpangan itu untuk melakukan hubungan seks.

"Mereka kemudiannya di bawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan tangkapan sebelum ditahan di lokap. Pasangan lelaki di lokap Balai Polis Kulim manakala pasangan perempuan di tahan di lokap Balai Polis Lunas.

"Mereka berdua akan disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pasangan," katanya.

Menurutnya, si perempuan mengaku sering melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya di sekitar Alor Setar sebelum ini.

"Memandangkan tempat yang biasa mereka melakukan maksiat telah diketahui orang, mereka mengubah lokasi dan melakukan perlakuan berkenaan di Kulim di mana hotel murah di sini hanya mengenakan bayaran RM35 sehari," katanya.

Menurutnya, PADK berterima kasih kepada orang ramai termasuk mereka yang bukan beragama Islam kerana membuat laporan pasangan yang melakukan maksiat kepada pihak terbabit. "Ini menunjukkan bukan masyarakat Islam sahaja yang menentang perlakuan maksiat malah mereka yang tidak beragama Islam juga bersikap sedemikian. PADK akan terus membuat pencegahan dan memastikan Kulim merupakan kawasan bebas dari sebarang perlakuan maksiat pada masa akan datang,” katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.