Header Ads

Salam tahun baru Hijrah 1432

WarkahDaily – Kami mengucapkan salam tahun baru Hijrah 1432 kepada semua pengunjung WarkahDaily Online. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun lepas dan senantiasa mencapat keredhaan Allah SWT…Insya Allah..

Perutusan Hijratur Rasul 1432 Hijrah Presiden

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ingin mengucapkan selamat melalui Hijratur Rasul 1432 dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi.

Permulaan tahun hijriah ini adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Makkah ke Madinah yang diingati setiap tahun oleh umat Islam.

Pentingnya peristiwa hijrah ini adalah kerana ianya berkaitan dengan kewajipan besar dalam Islam yang menjadi sebahagian tugas manusia, iaitu tugas khilafah atau dengan makna politik, iaitu mendirikan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.

Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah s.a.w. telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.

Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini.

Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini. Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas.

Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan Hijratur Rasul ini tidak disuruh oleh Nabi s.a.w. tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi s.a.w. dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
1 Muharam 1432 bersamaan 7 Disember 2010
Dikuasakan oleh Blogger.