Header Ads

Satu kompeni Askar Wataniah bagi setiap 222 kawasan parlimen menjelang tahun depan

Kementerian Pertahanan mensasarkan untuk mewujudkan satu kompeni sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Askar Wataniah, bagi setiap 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketika ini 198 kawasan Parlimen sudahpun mewujudkan kompeni pasukan berkenaan, dan selebihnya tahun depan.

Beliau berkata penubuhan kompeni Askar Wataniah di setiap kawasan Parlimen akan dapat memperkukuh keselamatan dan pertahanan negara menerusi konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), iaitu penglibatan semua pihak, termasuk agensi kerajaan, swasta dan rakyat, dalam mempertahankan negara.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Kompeni Askar Wataniah Parlimen Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di Kuala Terengganu Sabtu lepas, beliau berkata ketika ini sasaran untuk memiliki 60,000 anggota pasukan Askar Wataniah sudah tercapai.

Turut hadir pada majlis ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Pemangku Panglima Medan Tentera Darat, Mejar Jen Datuk Zulkiple Kassim, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Kol (Kehormat) Datuk Mazlan Ngah.

Sebelum itu Zahid memakaikan pangkat Kol (Kehormat) kepada Ahmad, yang juga penaung Askar Wataniah Terengganu.

Ahmad Zahid berkata dengan pelancaran empat kompeni hari ini, semua kawasan Parlimen di Terengganu kini mempunyai Kompeni Askar Wataniah di kawasan masing-masing. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.