Header Ads

Anak lelaki Ayah Pin pelajar cemerlang STPM Terengganu

BESUT: Anak lelaki Ayah Pin atau Arifin Mohamad muncul sebagai salah seorang pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 negeri ini apabila mendapat semua A dalam empat mata pelajaran.

Mohd Khairul Adhar Ariffin, 20, memperolehi kelulusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dengan mendapat A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Seni Visual.

Menurutnya, kesukaran hidup yang dialami keluarganya dijadikan pendorong untuk dia belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan.

“Walaupun isu mengenai ayah saya sering menjadi topik hangat tetapi tidak pernah mengganggu tumpuannya untuk belajar demi mencapai cita-cita saya menjadi guru,” katanya.

Mohd Khairul Adhar adalah anak keempat daripada enam beradik iaitu anak kepada isteri kedua Ayah Pin, Che Jaharah Awang, 52.

Katanya, salah seorang kakaknya kini sedang belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam jurusan Keusahawanan.

“Saya tidak mahu kejayaan saya ini dikaitkan dengan ayah saya kerana kejayaan saya adalah hasil usaha saya di samping sokongan keluarga dan kerjasama rakan yang dibantu oleh guru-guru yang begitu bersemangat memberi ilmu kepada saya dan rakan-rakan,” katanya yang agak pemalu.

Beliau memberitahu sudah tidak bertemu bapanya sejak enam tahun lalu dan tidak tahu di mana bapanya berada.

Berkongsi kejayaan, beliau memberitahu amalannya adalah belajar selama lima jam sehari selepas waktu sekolah iaitu tiga jam petang dan dua jam pada waktu malam selain mengulang kaji secara berkumpulan. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.