Header Ads

Audi A8 baru sarat dengan pelbagai ciri teknologi terkini

Jenama mewah Jerman, Audi, memperkenalkan kereta terbaru model A8 yang sarat dengan pelbagai ciri teknologi terkini.

Model terkini A8 merupakan rekaan generasi ketiga yang telah ditabalkan menduduki tangga teratas dalam senarai kenderaan keluaran Audi. Malah Pengarah Urusan Audi, Reinhold Carl yakin A8 dapat menandingi model-model seperti Mercedes Benz S-Class dan BMW 7 Series. Keyakinan itu mungkin berasas memandangkan gadingan hebat harga dan ciri istimewa yang ditawarkan Audi.

Dari segi ciri, A8 terbaru lebih besar dari model serupa sebelum ini iaitu berukuran 5,137 mm dan merupakan kereta yang terpanjang dalam kategorinya. Tidak hairanlah, kabinnya luas lagi selesa dengan ruang kepala dan kaki yang lebih dari mencukupi. Bahagian belakang boleh diubah suai untuk dilengkapkan dengan kerusi kawalan elektronik, skrin hiburan dan sistem pendingin udara.

Ciri paling menarik ialah sistem Multimedia Interface (MMI) yang diperbaharui. Sistem ini mengawal kemudahan elektronik seperti radio, navigasi dan rangkaian telekomunikasi.

Seperti biasa anda boleh memutar butang untuk membuat pilihan, apa yang baru ialah kemasukan touchpad membolehkan anda mencoret huruf atau angka misalnya untuk mencari lokasi sesebuah tempat. Sistem navigasinya pula dilengkapkan dengan sofware Google Earth.

Pengalaman memandu kereta ini amat mengasyikkan. Mengapa tidak, A8 dilengkapkan dengan sistem Audi Drive Select yang membenarkan pemandu membuat perubahan pada sistem gantung, kemudi dan sistem kelajuan.

Biarpun rangka kereta ini panjang dan lebar namun keupayaannnya menangani selekoh atau ruang sempit seperti di tempat letak kereta bertingkat amat menakjubkan dan seolah-olah sedang memandu sebuah kereta kecil yang lincah.

Terdapat dua pilihan enjin. Salah satu darinya ialah enijn turbo 3.0 liter jenis V6 dengan 420Nm torque. Satu lagi ialah enjin 4.2 liter V8 dengan 445Nm. Deruman enjin dari model 4.2 liter yang dipandu uji, agak bising jika di bandingkan dengan kereta jenis limosin yang lain.

A8 berupaya mencapai kelajuan dari 0 hingga 100 km sejam dalam masa 5.7 saat dan ia dilengkapkan dengan lapan-kelajuan automatik. Audi A8 juga dihasilkan dengan rangka Audi Space Frame (ASF) yang terkenal ringan tetapi kukuh untuk menangani rintangan di jalan raya.

Dari segi reka hias A8 menyerupai model-model lain dalam keluarga Audi, boleh dikatakan ia versi lebih besar A4. Kereta ini mempunyai banyak kelainan yang memisahkannya dari para pesaing contohnya lampu LED depan dan belakang. Sekali lihat di cermin belakang anda tahu itu kereta Audi. Harganya juga lebih rendah dari pesaingnya. Contohnya harga Audi A8L 4.2 FSI quattro ialah RM891,679.
Dikuasakan oleh Blogger.