Header Ads

9 hari terperangkap dalam kontena, seorang mati

DHAKA: Dua pekerja pelabuhan Chittagong, Bangladesh yang tertidur di dalam sebuah kontena terperangkap tanpa makanan dan minuman apabila kontena itu dibawa belayar dan tiba di Singapura melalui Malaysia, sembilan hari kemudian.


Dua warga Bangladesh yang menghabiskan 9 hari dalam kontena, seorang meninggal ditemui di pelabuhan Singapura Pasir Panjang. | foto AP
Din Islam, 30, berkata beliau dan rakan sekerjanya, Alamgir, terperangkap ketika tidur di dalam kontena 1 April lalu, tanpa sebarang bekalan kecuali sekotak rokok.

Polis Singapura berkata, Din Islam dan mayat Alamgir ditemui Ahad lalu oleh seorang pekerja di Terminal Kontena Pasir Panjong, selepas mereka mendengar bunyi ketukan kuat.

Pihak berkuasa republik itu mengklasifikasikan kes Din Islam sebagai sahih.

Polis Singapura tidak mengesyaki sebarang penipuan. Bagaimanapun, ada pihak berpendapat dua lelaki terbabit mungkin sengaja memasuki kontena untuk mencari kerja di luar negara.

Akhbar Dhaka The Daily Star melaporkan, sebelum ini ramai warga Bangladesh meninggalkan Bangladesh melalui pelabuhan Cox’s Bazar di tenggara negara itu menuju ke Malaysia dan ada yang terbunuh.
Akhbar The New Paper dan Straits Times Singapura melaporkan kes itu.

Kontena itu dibawa dari Pelabuhan Chittagong ke Singapura oleh kapal kargo Hansa Caledo, yang memulakan pelayaran pada 2 April.

Din Islam memberitahu polis Singapura, beliau dan Alamgir baru menyelesaikan kerja pembersihan di Pelabuhan Chittagong dan masuk ke dalam sebuah kontena untuk berehat apabila ia tiba-tiba terkunci dari luar.

“Kami menjerit dan menumbuk dinding untuk menarik perhatian, tetapi tiada siapa datang membantu.

“Kemudian kami tidur dan tidak mengetahui bahawa kontena itu sudah dibawa belayar. Apabila kami sedar, kami mungkin sudah dalam kapal,” katanya.

Dia berkata, Alamgir yang berusia lingkungan 40-an pengsan dan meninggal dunia selepas beberapa hari.

“Saya benar-benar tidak tahu apa harus dilakukan. Saya amat takut, menangis dan berdoa kepada Allah agar menyelamatkan saya,” katanya.

Sejurus tiba di Singapura, kontena terbabit dipindahkan ke dermaga pelabuhan.

Ahad lalu, pekerja yang sedang memindahkan kontena ke atas lori treler untuk dipunggah ke sebuah lagi kapal menuju Vietnam, terdengar ketukan kuat.

Apabila pintu dibuka, mereka menemui Din Islam bersama mayat Alamgir yang mereput tanpa dokumen perjalanan. –Agensi
Dikuasakan oleh Blogger.