Header Ads

Banyak faedah rakyat Sarawak dapat jika PR menang

WarkahDaily – Negeri kaya, rakyat miskin…itu adalah lumrah bagi rakyat di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN). Hasil khazanah negeri hanya diagihkan sesama pemimpin dan kroni sehingga nilaian aset peribadi mencapai jutaan ringgit di luar dan dalam negara.


Calon PAS Sebuyau, Haji Adam Ahid bersalaman dengan kanak-kanak rumah panjang kaum Iban di Belimbing Besi, malam kelmarin. | foto Harakahdaily
Di semenanjung, rakyat di lima buah negeri yang diperintah Pakatan Rakyat (PR) kini mulai sedar dengan kenikmatan dan banyak faedah yang mereka perolehi hasil daripada memenangkan PR dalam pilihanraya lepas.

Antara faedah yang dapat dikecapi rakyat di bawah PR ialah sumbangan kematian ahli keluarga, bantuan pelajaran, bantuan warga emas, bekalan air percuma, pemberian geran tanah untuk kediaman belum mempunyai geran dan sebagainya.

Walaupun dilihat pada mata kasar, kerajaan BN banyak mengeluarkan pelaburan jutaan ringgit untuk digula-gulakan kepada rakyat, tapi kena ingat, itu hanyalah umpan pilihanraya semata-mata.

Segala pelaburan yayng dibuat, padahal tidak memberi manfaat sepenuh untuk rakyat, bahkan hanya menguntungkan kroni-kroni pemimpin BN yang mendapat tender pembangunan.

Rakyat yang miskin semakin miskin. Mereka hanya dapat merasa sumbangan sementara yang sekadar cukup untuk sehari atau dua hari sahaja. Itu pun ketika pilihanraya. Namun selepas pilihanraya, batang hidung wakil rakyat tidak kelihatan lagi.

Harakahdaily semalam melaporkan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, rakyat Sarawak akan menikmati banyak faedah dan kemudahan seperti mana apa yang dinikmati rakyat di negeri pemerintahan PR jika rakyat Sarawak memberi mandat kepada PR untuk memerintah Sarawak.

Idris berkata, banyak perkara yang telah dilaksanakan oleh kerajaan PAS dan PR di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang mengikut situasi negeri bagi memastikan rakyat hidup sejahtera.

Tambahnya, sumbangan kematian ahli keluarga, bantuan pelajaran, warga emas, bekalan air percuma dan lain-lain dinikmati oleh rakyat yang telah memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Ini, ujarnya amat berbeza dengan pemerintahan BN sebelum itu tidak tidak menyediakan kemudahan berkenaan untuk rakyat sekalipun mampu berbuat demikian.

Justeru, beliau menyeru rakyat Sarawak memastikan Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada 16 April ini.

“Negeri Sarawak banyak hasil, minyak, balak dan lain-lain tetapi rakyat masih miskin. Jadi, jika Pakatan Rakyat dapat memerintah, kita pastikan kekayaan negeri ini dapat kepada rakyat,” ujarnya ketika berucap kepada masyarakat Iban di rumah panjang Lunying, malam kelmarin.

Turut berucap ialah Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat yang juga ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dan calon PAS, Haji Adam Ahid.

Masyarakat Iban di rumah panjang berkenaan memberikan sokongan dan kerjasama yang amat memuaskan kepada program PAS.

Bahkan mereka sentiasa memberikan tepukan apabila penceramah menyatakan kebaikan yang diperolehi sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya negeri ke-10 Sabtu ini.

Menurut Idris, masalah tanah dan kemiskinan rakyat akan diselesaikan dengan sebaik-baiknya jika rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat memerintah negeri ini.
Dikuasakan oleh Blogger.