Header Ads

Hadi aset berharga PAS dan Pakatan

ALOR SETAR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah aset berharga parti itu dan juga Pakatan Rakyat (PR), malah kepimpinannya selaras dengan dasar dan perjuangan Pas.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Yahya berkata, sepanjang Abdul Hadi memimpin parti, beliau telah memperluaskan pengaruh Pas hingga berjaya memenangi banyak kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dan berupaya mempertahan parti berdepan musuh politik.

“Pemuda Pas Kedah kesal dengan sebarang dakwaan kononnya Abdul Hadi adalah liabiliti kepada Pas, sedangkan sumbangan beliau pada parti amat besar dan harus dihargai semua pihak,” katanya.

Ahmad mengulas kenyataan penganalisis politik, Dr Abdul Aziz Bari dalam Sinar Harian Selasa lalu, bahawa Abdul Hadi adalah liabiliti kepada Pas dan faktor kemusnahan rancangan 16 September PR untuk mengambil alih pemerintahan negara ini.

Menurutnya, Abdul Hadi diibaratkan seperti permata kepada gerakan Islam di Malaysia dan rangkaian gerakan Islam di seluruh dunia, dan sumbangannya tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.

“Dalam konteks kepimpinannya dalam Pas, sepanjang masa beliau telah mengambil tindakan mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan parti selaras dengan kehendak hukum Islam dan perlembagaan Pas dan mematah sebarang cubaan merobek Pas dari luar dan dalam parti,” katanya.

Menurutnya, ketika banyak parti politik ditolak rakyat, Pas bawah kepimpinan Abdul Hadi terus diterima dan berkembang hingga dicemburui kawan dan lawan.

“Liabiliti sebenar Pas ialah ahli dan setengah pemimpin yang tidak faham dasar perjuangan ikut selera sendiri dengan lebih patuh kepada pemimpin di luar parti. Mereka hanya menyertai Pas setelah parti menang banyak kerusi dalam pilihan raya dan dapat memerintah beberapa negeri,” katanya. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.