Header Ads

Hosni Mubarak mengalami serangan jantung sebelum disoal siasat

KAHERAH: Hosni Mubarak, Presiden Mesir yang digulingkan, dilaporkan telah mengalami serangan jantung beberapa jam sebelum disoal siasat oleh pendakwa raya bersama anak-anaknya atas tuduhan rasuah.


Mubarak mengalami serangan jantung beberapa jam sebelum disoal siasat atas tuduhan rasuah. | foto EPA
Bekas Presiden Mesir itu, kini berada di hospital selepas serangan jantung.

Mubarak, 82 tahun telah dibawa ke unit rawatan rapi selepas berhadapan masalah jantung, lapor stesen televisyen kerajaan.

Mubarak dimasukkan ke sebuah hospital yang pernah didiaminya semenjak digulingkan di Sharm el-Sheikh, setelah diserang sakit ketika disoal siasat berkaitan kes pembunuhan penunjuk perasaan dan menggelapkan dana awam (wang rakyat), kata televisyen kerajaan.

Mubarak diguling pada 11 Februari selepas pemberontakan besar-besaran selama 18 hari terhadap pemerintahannya.

Stesen televisyen kerajaan memberitahu, Mubarak mengalami "masalah jantung", ketika disoal siasat tetapi tidak memberi butiran lanjut.

"Mubarak dirawat di Hospital Antarabangsa Sharm el-Sheikh petang semalam, di tengah-tengah situasi keselamatan yang tegang di bandar berkenaan," kata seorang sumber keselamatan.

Dikatakan, pihak hospital mengelak daripada membuat sebarang ulasan mengenai perkara itu dan mengatakan bahawa "menteri kesihatan akan membuat pengumuman" tak lama.

Suasana sekeliling hospital kelihatan dipenuhi dengan kereta polis dan ambulans serta kehadiran ramai polis, kata televisyen kerajaan.
Dikuasakan oleh Blogger.