Header Ads

Husam tolak tanding Presiden, mahu tumpu Kelantan menjelang PRU-13

KOTA BHARU: Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PAS Pusat, Datuk Husam Musa, hari ini menyatakan sokongan penuh beliau kepada pimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sehubungan dengan itu, Husam (gambar) menolak sebarang percalonan dari mana-mana PAS kawasan untuk mencalonkan beliau sebagai Presiden PAS.

“Saya menyokong 100 peratus kepada pimpinan Tuan Guru Haji Hadi, kerana kepada saya beliau adalah seorang yang berwibawa dan boleh menyatukan PAS.

“Jadi saya harap kawasan-kawasan lain tidak mencalonkan saya bagi jawatan presiden,” katanya.

“Saya tidak pernah ada hasrat untuk bertanding jawatan setinggi itu, apa tah lagi apabila dipertembungkan dengan Tuan Guru Haji Hadi,” katanya lagi.

Ujarnya, generasi muda kini mungkin tidak mengetahui hubungannya dengan Tuan Guru Haji Hadi.

“Pada tahun 1983 bila saya lepas universiti, saya ‘full time’ berkerja dengan PAS.

“Dan yang menerima saya di dalam majlis rasmi adalah Tuan Guru Haji Hadi dan almarhum Ustaz Hassan Syukri,” ujarnya lagi.

Walau macam mana pun beliau mengucap kan terima kasih kepada PAS kawasan Bukit Bintang yang mencalonkan beliau sebagai Presiden PAS.

“Mungkin PAS Bukit Bintang mempunyai sebab-sebab yang tertentu sehingga mencalonkan saya,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau hanya akan bertanding sebagai AJK PAS Pusat sahaja dan fokus utama beliau ialah Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

“Tugas utama saya ialah bagi memastikan Kelantan diuruskan dengan baik dan berjaya dalam PRU 13 yang semakin hampir,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini PAS kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan Husam bagi bertanding jawatan Presiden PAS sewaktu mesyuarat agung PAS kawasan berkenaan.

Mesyuarat itu juga mencalonkan bekas Naib Presiden, Mohamad Sabu untuk jawatan Timbalan Presiden.

Manakala, tiga jawatan Naib Presiden mereka mencalonkan Salahuddin Ayob, Datuk Mahfuz Omar dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. -Harakahdaily

WarkahDaily - Lepas ni, udah-udah ler bergaduh kepada pihak-pihak yang kononnya menyokong Husam untuk bertanding jawatan presiden. Jangan pulak kita tak hormat kepada kawan-kawan kita yang sedang berhempas-pulas berjuang di Sarawak demi kemenangan PR dan dengan sengaja 'menghidangkan peluru' kepada musuh yang sedang mencari isu semata-mata bagi melemahkan jemaah kita.

Orang lain duk 'berperang dengan musuh' kita pulak 'berperang sesama sendiri'. Tak menguntungkan jemaah pun, bahkan boleh melemahkan adalah. Orang lain sedang berada di zon pilihanraya, kita pulak sibuk dengan berbalah sesama sendiri.

Padahal orang yang dicalonkan tak ada apa-apa pun, tak bising pun...hangpa aje yang sibuk melobi...inilah yang dikatakan, lebih kuah dari sudu.
Dikuasakan oleh Blogger.