Header Ads

Kini Gaddafi menjadi sasaran utama serangan Nato

TRIPOLI: Serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang sebelum ini dilancarkan kononnya bagi melindungi nyawa rakyat Libya dilihat mula menyasarkan pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi.

Kawasan kediaman rasmi Gaddafi menjadi sasaran utama serangan udara Nato, awal pagi semalam, sehingga menyebabkan kemusnahan teruk pada beberapa bahagian bangunan itu.

Menurut laporan, bahagian kediaman Gaddafi yang menempatkan perpustakaan dan dewan menyambut tetamu musnah dalam serangan awal pagi itu.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Gaddafi berada di kediamannya itu semasa serangan.

Gaddafi kini berdepan dengan protes antikerajaan terburuk di negaranya yang menyaksikan pemberontak menuntut pemimpin itu berundur selepas 42 tahun memerintah Libya.

Pergolakan di negara itu bertambah buruk selepas campur tangan tentera kuasa asing yang mula melancarkan serangan ke atas Libya sejurus mendapat mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bulan lalu.
Dikuasakan oleh Blogger.