Header Ads

Liga Eropah: Villarreal benam FC Twente 3-1, mara ke separuh akhir

AMSTERDAM: Villarreal menyertai tiga pasukan Portugal ke peringkat separuh akhir Liga Europa setelah mengenepikan cabaran FC Twente dengan kemenangan 3-1, sekaligus mencatat agregat 8-2.


Para pemain Villarreal meraikan kejayaan mengalahkan Twente dalam aksi suku akhir Liga Europa pada 14 April 2011 di Enschede. | foto AFP
Kelab Sepanyol itu memiliki kelebihan besar 5-1 yang dibawa dari perlawanan pertama minggu lepas namun tuan rumah tidak mudah mengalah apabila gol babak pertama oleh Emir Bajrami memberikan sinar harapan buat juara Belanda itu.

Namun penalti yang disempurnakan oleh penyerang Villarreal, Giuseppe Rossi serta kad merah yang dilayangkan kepada Dwight Tiendalli memadamkan segala bentuk peluang yang dimiliki oleh Twente.

Lebih teruk lagi apabila satu lagi penalti oleh Marco Ruben serta penyudah cantik Cani melengkapkan malam penuh sengsara buat Twente.

FC Porto mengetuai kontinjen kelab Portugal ke separuh akhir apabila sekali lagi membelasah Spartak Moscow, kali ini dengan keputusan 5-2, menjadikan agregat keseluruhan 10-2.

Kualiti yang dimiliki Porto nyata tidak mampu disaingi oleh kelab Rusia itu dan lima gol Porto itu dijaringkan oleh lima pemain berbeza; Hulk, Cristian Rodriguez, Fredy Guarin, Falcao dan Ruben Micael.

Gol saguhati tuan rumah pula dijaringkan oleh Artem Dzjuba dan Ferreira Ari.

Braga pula mempamerkan disiplin tinggi untuk mengikat Dynamo Kiev seri tanpa jaringan di tempat sendiri, lebih-lebih setelah terpaksa beraksi hampir sejam dengan hanya 10 pemain setelah Paulo Cesar dilayangkan kad merah pada minit ke-29.

Kegagalan Kiev menjaringkan gol membuatkan Braga layak ke separuh dengan peraturan gol di tempat lawan setelah seri 1-1 dalam perlawanan pertama.

Benfica hampir-hampir dikejutkan oleh satu lagi kelab Belanda, PSV Eindhoven namun berjaya bertahan untuk seri 2-2 di tempat lawan, sekaligus menyertai Braga, Porto dan Villarreal dengan keputusan agregat 6-3.

Walaupun ketinggalan kepada dua gol babak pertama oleh Balasz Dzsudzsak dan Jeremain Lens, Anderson Luisao dan Oscar Cardozo memastikan tuan rumah berputih mata.

Di peringkat separuh akhir, Benfica akan berhadapan Braga manakala pertemuan Villarreal-Porto melengkapkan jadual Liga Europa tersebut. -PA Sports
Dikuasakan oleh Blogger.