Header Ads

Liga Juara-juara Eropah: Manchester United, Barcelona bawa bekalan selesa

LONDON: Biarpun berdepan dakwaan salah laku di England, Wayne Rooney muncul wira Manchester United di Eropah ketika The Red Devils menewaskan Chelsea 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-juara Eropah di Stamford Bridge.


Jaringan Wayne Rooney di minit ke-24 terbukti memadai buat Manchester United untuk menewaskan Chelsea 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-juara Eropah di Stamford Bridge awal pagi tadi. | foto Getty Image
Gol tunggal penyerang England itu pada separuh masa pertama menjadi bekalan penting buat United yang akan melayan kunjungan The Blues dalam aksi timbal balik minggu hadapan.

Jaringan minit ke-24 yang mengenai palang sebelum masuk ke dalam gol itu merupakan hasil gerakan cantik United, dalam perlawanan yang sebahagian besarnya dikawal oleh pasukan pelawat.

Harus diingat, United tidak pernah menang di kubu Chelsea itu dalam 10 perlawanan sejak 2003 namun dengan Rooney berada di kemuncak prestasi, rekod itu mudah dileburkan oleh anak buah Alex Ferguson.

Barisan pertahanan United turut diperkuatkan dengan kehadiran semula Rio Ferdinand yang kembali pulih daripada kecederaan betis namun Chelsea tidak kurang hebatnya, dengan Frank Lampard dan Fernando Torres gagal menyempurnakan peluang yang terhidang dengan baik.

Separuh masa kedua menyaksikan Chelsea menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan namun kekecewaan terus melanda apabila gagal mendapat penalti setelah Patrice Evra dikatakan telah menjatuhkan Ramires.


Rembatan Gerard Pique melepasi tiga pemain Shakhtar Donetsk untuk jaringan ketiga Barcelona awal pagi tadi. Barcelona belasah Shakhtar 5-1. | foto Reuters
Dalam satu lagi aksi suku akhir, Barcelona terus mendapat perhatian setelah mudah membelasah Shaktar Donetsk 5-1 dalam perlawanan yang memperlihatkan keunggulan pasukan Sepanyol itu dalam semua aspek permainan.

Andres Iniesta membuka jaringan seawal minit kedua dan kemudiannya Daniel Alves dan Gerard Pique denngan mudah menambah jumlah jaringan dalam perlawanan yang penuh aksi serangan itu.

Yaroslav Rakitskiy berjaya mencuri satu gol saguhati namun sebarang harapan buat Shakthar untuk mencipta kejutan ke atas Barcelona musnah apabila Seydou Keita dan Xavi Hernandez memastikan mereka selesa untuk bertandang ke Ukraine minggu depan. -D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.