Header Ads

Liga Juara-juara Eropah: Real Madrid, Schalke 04 mudah mara ke separuh akhir

LONDON: Real Madrid memastikan pertemuan separuh akhir dengan seteru tradisi Barcelona setelah mengenepikan cabaran Tottenham Hotspur 1-0 di White Hart Lane untuk layak secara agregat 5-0.


Penyerang Real Madrid Cristiano Ronaldo meraikan bersama Marcelo dan Mesut Ozil selepas menjaringkan gol ke atas Tottenham Hotspur dalam aksi suku akhir kedua Liga Juara-juara Eropah di White Hart Lane. | foto AFP
Cristiano Ronaldo memastikan kemenangan selesa buat Real setelah tendangan padunya pada awal babak kedua gagal ditangkap dengan kemas oleh penjaga gol Spurs, Heurelho Gomes lalu melepasi kepalanya dan masuk ke dalam gawang Spurs.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu terlebih dahulu selesa dengan kelebihan empat gol yang dibawa dari perlawanan pertama dan kejayaan ini memastikan mereka akan berdepan dengan musuh ketat, Barcelona di separuh akhir.

Spurs bagaimanapun memiliki dua rayuan penalti yang tidak diendahkan oleh pengadil perlawanan akan tetapi gol Ronaldo itu memadamkan sebarang harapan untuk bangkit melakukan kejutan.

Walaupun bermula garang, kelebihan yang dimiliki Real ternyata terlalu sukar untuk diatasi oleh Spurs, membuatkan impian Eropah mereka buat pertama kali terkubur.

Sementara itu di Jerman, wakil tunggal Jerman, Schalke 04 akan berdepan dengan Manchester United dalam satu lagi aksi separuh akhir selepas menamatkan usaha Inter Milan untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

Setelah menang besar 5-2 di San Siro minggu lepas, Schalke sekali lagi garang membenam Inter dengan kemenangan 2-1, sekaligus mara ke separuh akhir dengan agregat 7-3.

Pemain legenda Sepanyol membuka jaringan sejurus sebelum tamat babak pertama, namun Inter menyamakan kedudukan melalui Thiago Motta sebaik sahaja separuh masa kedua bermula.

Jaringan minit-minit akhir permainan oleh pertahanan Schalke, Benedikt Hoewedes memastikan kemunculan pertama Schalke di separuh akhir kejohanan elit kelab Eropah itu menjadi kenyataan.

Kegagalan Inter memadamkan kelebihan Schalke menyaksikan mereka semakin dirundung malang kerana selain gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu di bawah kendalian Mourinho, mereka juga tercicir di belakang musuh tradisi AC Milan di dalam aksi domestik Serie A. -D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.