Header Ads

Liga Perdana: ATM kekal rekod tanpa kalah

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mengejar pendahulu liga PKNS Sselangor apabila seri 1-1 dengan Sarawak pada saingan Liga Perdana di Stadium Negeri, Kuching, semalam.

Keputusan itu membolehkan ATM mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengumpul 19 mata di tangga kedua, ketinggalan tiga mata dengan PKNS manakala Sarawak di tangga ketiga dengan 17 mata.

ATM membuka tirai jaringan pada minit ke-53 menerusi Abdul Rashid Mahmud sebelum Sarawak menyamakan kedudukan menerusi Mohd Hairol Moktar pada minit ke-64 ekoran kesilapan penjaga gol ATM, Amir Omar Khata, yang gagal menangkap kemas bola cubaan Wong Sai Kong.

Di Stadium Jcorp, Pasir Gudang, SDM Navy gagal memecah kebuntuan kemenangan sulung dalam liga apabila terikat 1-1 dengan pasukan Majlis Perbandaran (MP) Muar.

Gol pembukaan perlawanan dijaringkan oleh pemain MP Muar, Mohd Fitri Omar pada minit ke-50, hasil sepakan di luar kotak penalti.

Ketinggalan satu gol memaksa SDM Navy menggandakan asakan dan akhirnya mendapat sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil Zulkifli Ahmad selepas pemain lawan mengasari penyerang Muhamad Ikram.

Ketua pasukan SDM Navy Safuan Azwan menyempurnakan sepakan tersebut pada minit ke-86.

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang yang menduduki tangga tercorot liga tanpa sebarang kemenangan, tewas 1-2 kepada Johor.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sime Darby FC terikat tanpa jaringan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Pos Malaysia menumpaskan USM FC 1-0. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.