Header Ads

Liga Super 2011: T-Team balas dendam kekalahan Piala FA kepada Kelantan

KUALA TERENGGANU: Akhirnya dendam kekalahan dalam perlawanan Piala FA kepada Kelantan tempoh hari, kini terbalas jua apabila T-Team berjaya membenam pendahulu Liga Super, Kelantan dengan 4-3 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.


Indra Putra meledak jaringan ketiga T-Team dalam perlawanan menentang Kelantan malam tadi di Kuala Terengganu. T-Team menang 4-3. | foto SH
Kemenangan itu membuktikan pasukan berstatus kelab yang disertai beberapa orang bekas pemain Kelantan musim lepas itu lebih hebat berbanding Kelantan kerana T-Team berjaya mengalahkan Kelantan dalam perlawanan sebenar dan bukannya menerusi penentuan penalti.

Perlawanan malam tadi juga diibaratkan perlawanan ulangan Piala FA yang menyaksikan T-Team tumbang kepada kelantan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 apabila tamat masa sebenar.

Namun pasukan berstatus kelab yang disertai beberapa orang bekas pemain Kelantan musim lepas itu membuktikan mereka lebih hebat berbanding Kelantan dalam saingan sebenar Liga Super yang penuh debaran itu apabila pasukan kelab dari Terengganu itu mendapat gol pertama menerusi pakar sepakan percuma tuan rumah, Zairo Anuar Zailani apabila melencongkan sepakan percuma cantik melepasi penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-21.

T-Team terus garang apabila memperolehi gol kedua hasil gerakan menarik Norfarhan Mohamad yang berjaya mengelecek empat pertahanan Kelantan sebelum melepaskan rembatan kencang dengan kaki kanan ke arah pintu gol Kelantan menewaskan Khairul Fahmi seminit sebelum rehat.

Babak kedua bermula, T-Team terus melebarkan kedudukan mendahului Kelantan 3-0 di minit ke-51 selepas hasil gerakan bijak bekas pemain Kelantan musim lalu, Indra Putra Mahyuddin.

Akhirnya usaha Kelantan menjarakkan kedudukan berhasil di minit ke-62 menerusi jaringan pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah. Gawang T-Team bolos lagi dua minit selepas itu menerusi jaringan S. Chanthuru menjadikan 3-2.

Ketika Kelantan ghairah mencari gol penyamaan, T-Team terus menghukum pemain Kelantan dengan gol keempat tuan rumah menerusi gol Haris Safwan pada minit ke-79.

Di minit-minit terakhir perlawanan, Kelantan cuba bangkit lagi untuk merapatkan jurang gol. Akhirnya, empat minit sebelum perlawanan tamat, mereka berjaya mendapatkan gol ketiga menerusi Danial Fadzly.

Namun Kelantan terpaksa akur dengan kehebatan T-Team apabila keputusan 4-3 berpihak kepada tuan rumah terus kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

  • Keputusan penuh lain-lain perlawanan Liga Super 2011 (5 April), klik sini.
Dikuasakan oleh Blogger.