Header Ads

Manchester United, Barcelona tempah tiket ke separuh akhir Liga Juara-juara Eropah

LONDON: Manchester United dan Barcelona menempah tiket ke separuh akhir Liga Juara-juara Eropah selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi suku akhir kedua kejohanan elit Eropah itu.


Penyerang Manchester United Wayne Rooney dan Javier Hernandez meraikan jaringan gol Park Ji-Sung dalam aksi suku akhir kedua Liga Juara-juara Eropah di antara United dan Chelsea di Old Trafford awal pagi tadi. | foto AFP
United mengenepikan cabaran Chelsea 2-1 untuk layak secara agregat 3-1 dan bakal bertemu pemenang di antara Schalke 04 atau Inter Milan di peringkat separuh akhir nanti.

Gol-gol United dijaringkan oleh penyerang Mexico, Javier Hernandez serta bintang Korea Selatan, Park Ji-Sung di hadapan seramai 74,672 penonton di Old Trafford.

United terlebih dahulu memiliki kelebihan 1-0 hasil kemenangan di Stamford Bridge minggu lalu layak menang setelah menguasai Chelsea, yang hanya mampu menajringkan satu gol menerusi Didier Drogba.

Penyerang Chelsea, Fernando Torres meneruskan kemarau jaringannya apabila gagal menyumbat gol setelah 11 jam bermain bersama-sama Chelsea dan digantikan oleh Drogba pada separuh masa kedua.

Di Ukraine, Barcelona menang 1-0 ke atas Shakhtar Donetsk hasil jaringan Lionel Messi pada minit ke-43 bagi membolehkan Barcelona mara ke separuh akhir dengan agregat 6-1.

Jaringan tunggal perlawanan itu menyaksikan Messi mendahului senarai penjaring terbanyak dalam Liga Juara-juara Eropah.

Bintang Argentina itu memecahkan kebuntuan di Donbass Arena, merembat rendah bola ke arah gawang Shakhtar dengan menggunakan kaki kiri.

Barcelona, yang mendahului 5-1 hasil kemenangan besar di Nou Camp minggu lalu, berkemungkinan besar akan bertemu seteru tradisi Real Madrid, yang mendahului Tottenham Hotspur 4-0, di peringkat separuh akhir. -D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.