Header Ads

Mesir akan serang balas jika rejim Zionis serang Gaza – Calon Presiden

KAHERAH: Calon Presiden Mesir, Mohamed El Baradei menegaskan negara itu tidak akan berdiam diri dan akan menyerang balas jika tentera rejim Zionis melancarkan serangan sekali lagi ke atas Gaza.


"Jika Israel menyerang ke atas Gaza, kita (Mesir) akan menyatakan perang terhadap rejim Zionis," tegas Mohamed El Baradei. | foto Tehran Times
Bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa itu turut menyatakan Mesir akan membuka sempadan Rafah dan mempertimbangkan cara berbeza untuk melaksanakan satu perjanjian pertahanan bersama negara di rantau Arab jika Gaza diserang tentera Israel.

"Rejim Zionis sudah lama menguasai Palestin dan tiada perkembangan dalam proses damai antara kedua negara berikutan ketidakseimbangan kuasa di rantau ini," katanya dalam satu wawancara.

Beliau turut menyatakan agenda utamanya jika dicalonkan sebagai presiden adalah untuk mengagihkan pendapatan kepada penduduk berbeza taraf di negara itu, selain melakukan pembaharuan dalam pelbagai sektor.

Sementara itu, Menteri Luar Mesir, Nabil Elaraby berkata, Kaherah berhak menilai semula perjanjian damai Mesir-Israel yang ditandatangani pada 1979 dan dipatuhi bekas Presiden, Hosni Mubarak.

Menurutnya, Mubarak menjual gas asli kepada Israel dengan harga lebih rendah daripada kos pengeluaran, sesuatu yang tidak tertera dalam perjanjian rasmi antara kedua negara itu.
Dikuasakan oleh Blogger.