Header Ads

NGO gesa kerajaan tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat kematian Sarbani

KUALA LUMPUR: Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kematian Ahmad Sarbani Mohamed yang dilaporkan terjatuh daripada bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.


Beberapa NGO pelbagai kaum tidak hanya membela kematian Beng Hock tetapi turut melakukan inisiatif sama terhadap kematian Sarbani.
NGO tersebut yang diketuai Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) bagaimanapun mencadangkan calon-calon RCI mesti dipilih oleh wakil masyarakat sivil bagi memastikan kredibiliti penyiasatan kes itu dilakukan secara bebas.

“Penubuhan RCI mesti ditubuhkan demi menyiasat kematian mangsa supaya tidak berlaku kejadian seperti ini yang pernah menimpa Teoh Beng Hock dan terbaru Ahmad Sarbani. Panel penyiasatan RCI mesti dipilih oleh masyarakat awam,” kata Pengerusi SUARAM, Kua Kia Soong dalam sidang media yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.

Antara NGO yang turut hadir dalam sidang media tersebut ialah wakil daripada Saya Anak Bangsa Malaysia(SABM), All Women’s Action Society (AWAM), Malaysias For Beng Hock, Lawyers For Liberty (LFL), Persatuan Masyarakat Wilayah Persekutuan dan Selangor (PERMAS) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS).

Selain itu, mereka turut menuntut polis melakukan penyiasatan secara bebas dan profesional terhadap SPRM supaya suruhanjaya tersebut dapat membersihkan reputasi dan kredibiliti mereka terhadap insiden kematian dalam tahanan.

“Polis mesti siasat secara bebas dan profesional kerana sebelum ini penyiasatan terhadap 59 kes melibatkan penyalahgunaan kuasa oleh SPRM tidak dapat diselesaikan.

“Pengarah SPRM dan semua pegawai yang terlibat dalam penyiasatan kes itu perlu digantung tugas sementara RCI menjalankan siasatan supaya tidak menutup apa-apa bukti atau halangan ketika dalam penyiasatan,” ujarnya.

Sementara itu NGO juga mendesak supaya melaksanakan jawatankuasa dan panel dalam kod prosedur jenayah untuk menguatkuasakan tindakan terhadap seseorang pegawai dan membentuk mahkamah koroner bagi menyiasat semua kes kematian mengejut dalam tahanan.

“Contohnya kalau di Britain, mereka menubuhkan Suruhanjaya bebas aduan polis bagi menyiasat secara bebas kes tertentu,” katanya. -Keadilandaily
Dikuasakan oleh Blogger.