Header Ads

PDRM, SKMM kesan individu muat naik klip video seks

KUALA LUMPUR: Polis melancarkan siasatan bagi mengesan individu yang telah memuat naik sebahagian lagi rakaman klip video hitam putih aksi seks membabitkan individu mirip pemimpin pembangkang, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan polis mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sudah dimulakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak lama selepas berita mengenai klip video aksi seks itu tersebar di internet.

Menurutnya, sehingga kini kita masih belum kenal pasti identiti mereka yang memuat naik klip itu dan sehingga sehingga kini tiada laporan polis dibuat mengenainya tetapi polis masih boleh menjalankan siasatan.

"Tidak semestinya laporan perlu dibuat. Siasatan masih akan dijalankan. Perkara yang paling penting adalah mencari siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini," katanya di Bukit Aman, hari ini.

Semalam, heboh diperkatakan mengenai penyiaran sebahagian lagi rakaman video seks selama 47 saat yang dikatakan membabitkan individu mirip pemimpin pembangkang yang dimuat naik di laman web video YouTube.

Pada 4 April lalu, satu klip video yang dipercayai membabit individu sama disebar di internet. Khalid, ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan klip video pertama itu, berkata pihak pendakwaan meminta pegawai penyiasat untuk melakukan siasatan lebih terperinci.

"Pihak pendakwaan melihat lebih terperinci daripada penyiasat. Kami tidak dapat nyatakan bila ia (siasatan) akan siap"," katanya, adalah proses biasa dalam sesuatu siasatan apabila ada individu yang akan dipanggil memberi keterangan atau dipanggil semula untuk beberapa kali bagi membantu siasatan.

Pada 21 Mac lalu, rakaman video seks yang dikatakan membabitkan individu mirip pemimpin pembangkang dipertontonkan kepada beberapa wakil media oleh pihak yang menggelarkan diri "Datuk T" di sebuah hotel di sini.

Misteri "Datuk T" terungkai apabila Datuk Shazryl Eskay Abdullah bersama bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik, dan bekas Bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim, mengaku mereka bertanggungjawab di atas penayangan video itu dan "Datuk T" adalah singkatan "Datuk Trio".

Penayangan video itu menyebabkan Anwar membuat laporan polis. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.