Header Ads

Perak tiada cadangan haram artis tidak bermoral buat persembahan - Zambry

IPOH: Kerajaan Negeri tidak ada sebarang cadangan untuk mengharamkan artis tidak bermoral membuat persembahan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (gambar) berkata, pihaknya akan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Menurutnya, perkara itu perlu dilihat dari segi semua aspek sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan.

“Sehingga kini Perak tidak menghadapi sebarang masalah dengan perkara tersebut dan tidak ada sebab untuk mengharamkannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, bagi pihak-pihak tertentu yang membawa artis-artis berkenaan juga sudah semestinya tahu garis panduan yang telah ditetapkan.

“Mereka juga faham yang yang kita nak dan apa yang kita tak nak. Oleh itu, sehingga kini tidak ada sebarang masalah,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri juga tidak ada menyenaraihitamkan mana-mana artis kerana perkara tersebut masih terkawal.

“Contohnya penyanyi Jamal Abdillah, walaupun beliau mempunyai masalah seperti diketahui umum, namun dalam bidang nyanyian beliau masih komited dan diterima masyarakat,” katanya.

Semalam, Sinar Harian menyiarkan keputusan Kerajaan Selangor melarang artis yang tidak bermoral membuat persembahan di negeri terbabit. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.