Header Ads

Pilihanraya umum ke-13 diadakan tahun ini?

WarkahDaily – Tarikh bila akan diadakan pilihanraya umum (PRU) ke-13 kembali kedengaran lagi. Sebelum ini, ramai duk buat ramalan, ada yang cakap tahun ini, pertengahan tahun ini, awal tahun depan atau pertengahan tahun depan.

Penganalisis politik tak kira yang pro PR atau BN, masing-masing dengan isu tersendiri telah membuat pelbagai andaian akan berlakunya pilihanraya.

Yang terbaru, PRU ke-13 dikatakan akan berlaku pada tahun ini. Mereka yang beranggapan begitu berpaksikan kepada notis meminta peperiksaan sekolah-sekolah kerajaan pertengahan tahun ini dipercepatkan seperti yang dilaporkan dalam The Malaysian Insider semalam.

Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily semalam melaporkan, satu notis kerajaan persekutuan telah diedarkan meminta sekolah agar mempercepatkan peperiksaan supaya pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan Jun atau Julai ini. Namun ia masih lagi bergantung kepada keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.

Akhbar itu berkata beberapa sekolah di Negeri Sembilan telah menerima notis dan peperiksaan mesti diadakan bulan depan dan dewan sekolah pula tidak boleh disewa kepada awam mulai Jun dan bulan seterusnya.

Penganalisis dan pemerhati melihat pilihan raya paling cepat akan diadakan pada Jun atau Julai atau pada Oktober memandangkan Ogos dan September merupakan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri manakala November umat Islam akan menunaikan haji.

Pengetua sebuah sekolah rendah kebangsaan Cina di Selangor berkata notis pemberitahuan seumpama itu biasa dihantar oleh Kementerian Pelajaran sebulan atau dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan walaupun tiada sebab yang dinyatakan.

“Tapi notis seperti ini boleh menjadi petunjuk pilihan raya dan biasanya ia tepat,” kata pengetua yang enggan namanya didedahkan.

Menurut Sin Chew Daily lagi, setakat ini sekolah yang menerima notis pemberitahuan itu tidak banyak dan pilihan raya umum akan diadakan berpandukan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak.

Dalam temu bual dengan Reuters awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan pilihan raya negeri Sarawak pertengahan bulan ini akan digunakan sebagai “ukuran” untuk menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13 — sama ada dipercepatkan ataupun sebaliknya.

Pengerusi BN itu berkata kerajaan akan memutuskan masa yang sesuai bagi pilihan raya umum selepas pilihan raya negeri Sarawak.
Dikuasakan oleh Blogger.