Header Ads

PR Sarawak: PAS bakal beri tentangan sengit di Beting Maro

BATANG LUPAR: Calon PAS, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus akan ditentang calon BN, Razaili Gapor sekaligus menyaksikan perlawanan satu lawan satu bagi Dun Beting Maro.


Calon PAS bagi Dun Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (Bersampin) diiringi pemimpin dan penyokong PAS pada hari penamaan calon semalam.
Kedua-dua mereka diumumkan sah bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tepat jam 11.38 tengah hari semalam selepas tiada sebarang bantahan diterima SPR sepanjang sejam sesi bantahan dibuka.

Abang Ahmad menyerahkan borang pencalonan jam 9.05 pagi manakala Razaili jam 9.10 pagi di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Pusa di sini.

Abang Ahmad, 32, dicadang oleh Alem Din iaitu calon PAS pada pilihan raya negeri sebelum ini dan disokong Abg Noh Abg Seman.

Manakala Razaili, 56, dicadang oleh Aweng Rosli dan disokong Mohidin Bolhasan.

Turut mengiri calon PAS ke pusat penamaan hari ini Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Adun Meranti Datuk Nasruddin Daud, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim, Adun Kijang Wan Ubaidah Omar dan beberapa exco Pemuda PAS Pusat.

Sementara itu lebih 400 penyokong yang terdiri masyarakat tempatan dari pelbagai peringkat umur, turut mengiringi calon PAS ke pusat penamaan pagi semalam.

Mereka berkumpul di sebuah kawasan rumah kedai seawal jam 7.30 pagi sebelum berarak ke tempat penamaan kira-kira 500 meter.

Sambil memakai baju hijau bercetak gambar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka turut melaungkan 'undi PAS', 'Pangkah bulan' dan 'Hidup PAS’.

Beting Maro mempunyai komposisi kaum Melayu/Melanau 90.99%, Cina 2.28% dan Iban 6.73%.

Pada pilihan raya negeri 2006 sebelum ini dikuasai BN melalui calon mereka Bolhassan Haji Di. -Harakahdaily
Dikuasakan oleh Blogger.