Header Ads

PRN Sarawak: Kak Ani calon PAS bakal beri tentangan sengit

KOTA SAMARAHAN, 5 Mac: Tiada istilah parti besar atau kecil dalam pertandingan pilihanraya, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.


Puan NorAini bt. Hamzah (Kak Ani) diumumkan calon PAS di DUN Muara Tuang oleh Setiausaha Agung PAS malam tadi di kediaman calon di Kg. Tanjung Bundong.
“Bagi kita untuk pilihanraya ini tiada besar atau kecil dan apabila kita berhadapan dengan musuh semuanya nampak kecil pada kita.

“Sebagai contoh, Tun Mahathir yang dianggap besar pun pernah kalah pada pada pilihan raya tahun 1969,” ujarnya selepas pengumum calon PAS bagi Dun Muara Tuang, malam tadi.

Katanya, PAS akan memberi tentangan yang kuat kepada parti Barisan Nasional (BN), yang diwakili oleh adik kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mohd Ali Mahmud.

“Sememangnya kita tahu yang bertanding bagi pihak BN untuk Dun ini (Muara Tuang) adalah adik kepada Ketua Menteri.

“Saya akui perkara ini bukan suatu yang mudah, tetapi dengan sokongan yang ada pada masa ini kita percaya PAS mampu untuk membuat kejutan,” katanya lagi.

Mengenai pemilihan calon muslimat bagi Dun Muara Tuang, Mustafa memberitahu, beliau yakin pemilihan calon muslimat PAS itu dan akan mendapat sokongan yang kuat dari keluarga sendiri dan juga masyarakat setempat kerana sering bergaul dengan masyarakat setempat.

Tambahnya lagi, walaupun ini kali pertama Dun Muara Tuang ditandingi oleh PAS, tetapi PAS mendapat sokongan yang kuat dari komponen Pakatan Rakyat.

“Ini memberi kekuatan kepada kita kerana kesepaduan akan memberi kekuatan moral untuk berdepan dengan calon BN dan kita akan membuat perubahan untuk pilihanraya kali ini,” ujarnya.

Menyentuh soal isu pula, Mustafa berkata, PAS akan menumpukan kepada isu-isu tempatan seperti salah guna kuasa, rasuah dan tanah adat.

Namun begitu isu-isu nasional juga akan digunakan kerana ramai di sini yang faham dan perlu diberi penjelasan mengenainya.

Sementara itu, calon PAS bagi Dun Muara Tuang, Noraini Hamzah, berkata, beliau akan memikul amanah dan cabaran yang diberi oleh PAS pusat.

“Cabaran ini amat berat dan saya akan pikul amanah sebaik mungkin,” katanya.

“Tetapi dengan adanya sokongan kuat dari penyokong dan jentera parti, tidak mustahil Muara Tuang yang dikatakan kubu kuat BN boleh digugat oleh PAS,” ujarnya.

Menyentuh soal isu, Noraini berkata, beliau akan membawa suara masyarakat tempatan yang ditindas oleh BN.

“Antara perkara utama yang saya akan bawa ialah kadar kemiskinan yang tinggi dalam Dun ini.

“Isu tanah NCR majoriti kaum Iban dan kaum melayu bumiputra Sarawak yang ditindas oleh BN Sarawak saya akan suarakan juga,” ujarnya lagi.

Ujarnya lagi, tanah-tanah rakyat yang dirampas dan status tanah TOL antara isu akan diketengahkan olehnya nanti.
Dikuasakan oleh Blogger.