Header Ads

PRU-13: BN bangsat takut, persempadanan semula kawasan parlimen akan dilakukan?

WarkahDaily – Pilihanraya negeri Sarawak yang ke-10 sudah melabuhkan tirai, Barisan Nasional (BN) masih diberi mandat oleh rakyat Sarawak untuk terus menubuhkan kerajaannya yang masih lagi dipimpin Ketua Menterinya, Tan Sri Taib Mahmud.

Namun, kemenangan yang diperolehi BN kali ini kelihatan seolah-olah ’ada hempedu dalam gula’. Tersenyum tapi pahit.

Kelihatan pemimpin BN seolah-olah sedang memaksa diri untuk senyum dan gembira, padahal jauh di sudut hati mereka, ada suatu kebimbangan yang kuat dengan penguasaan Pakatan Rakyat (PR) di kawasan bandar

Walaupun BN masih lagi mendapat majoriti 2/3 dan dapat menubuhkan kerajaan negeri Sarawak namun BN telah kehilangan 8 kerusi dan undi popular BN telah merosot lapan peratus.

Keseluruhannya, BN memenangi 55 kerusi (63 kerusi pada pilihanraya 2006), DAP mendapat 12 (6 kerusi pada 2006), PKR mendapat 3 kerusi (2 kerusi pada 2006) dan Bebas (1).

Keputusan itu jelas menunjukkan BN kehilangan lapan kerusi, berbanding 63 kerusi yang dimenanginya pada 2006.

PAS yang bertanding di lima kawasan, walaupun tewas tetapi masih lagi mampu bertahan dengan penambahan undi bagi calonnya walaupun ianya di kawasan kubu BN.
Secara kasar, calon PAS Dun Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus telah berjaya mengurangkan majoriti BN daripada 895 kepada 391 undi. Walaupun kita lihat ianya adalah jumlah yang kecil, tetapi di Sarawak ianya boleh dikatakan besar bagi parti Islam itu.

Kali ini, calon PAS mendapat 2,678 undi berbanding BN 3,069. Ia boleh jadikan sebagai suatu perkembangan yang baik untuk PRU-13.

Kawasan parlimen Kuching (bandar), DAP dan PKR telah menyapu bersih semua lima kerusi Dun.

Berdasarkan apa yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), jumlah pemilih keluar mengundi adalah 70%. Daripada itu, BN mendapat undi sebanyak 372,379 undi, diikuti DAP (134,847), Snap (15,663), PKR (117,100), PAS (9,719), PCM (2,895) dan Bebas (20,064).

Pengundi di bandar tolak BN

Sedia maklum, kawasan bandar majoritinya didiami penduduk berbangsa Cina. Secara kasar dan tersurat, Cina kelihatan jelas menolak BN dalam setiap pilihanraya semenjak berlakunya tsunami politik pada pilihanraya umum (PRU) ke-12.

Tidak dapat dinafikan lagi, BN tidak lagi boleh diterima bagi penduduk bandar yang dikatakan penduduk yang banyak mendapat informasi dan input tepat berkaitan kemusnahan, ketidak adilan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan kerajaan BN.

Secara ringkasnya, BN tidak lagi menjadi parti pilihan bagi orang yang terbuka minda mereka. Dengan kata lain, BN sudah menjadi ’parti kampung’.

Secara logiknya, kawasan bandar merupakan kawasan yang banyak mendapat perhatian dari segi pembangunan dan kemudahan namun, kenapa penduduk yang dikatakan menerima banyak menerima pembangunan itu telah menolak BN.

Perkembangan itu telah menggusarkan pemimpin tertinggi BN yang bakal melingkupkan BN bersama-sama retorik pembangunannya yang sentiasa dicanang dalam setiap pilihanraya.

Bukti penerimaan rakyat Sarawak terhadap PR

Penambahan kerusi Dun yang ditawan PR semakin membesar di Sarawak yang dahulunya dikatakan kubu terkuat BN (kawasan penyelamat BN untuk kekal berkuasa), tetapi sekarang ianya dilihat semakin mengecil dan PR semakin mendapat tempat di hati pengundi.

Di samping penambahan kerusi Dun, PR juga mendapat penambahan undi dan ini memberi satu signal penerimaan pengundi terhadap PR adalah positif untuk masa akan datang (PRU-13).

Pilihanraya negeri Sarawak Sabtu lepas, Mungkin dijadikan indikator, PRU-13 mungkin tidak diadakan dalam masa terdekat seperti yang diramalkan Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Ini akibat, BN merasakan kedudukan mereka tidak lagi selamat untuk kekal berkuasa di Putrajaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengetuai BN mungkin akan mengambil masa untuk menilai talian hayatnya yang terakhir yang akan digunakan bagi menghalang kebangkitan PR dalam PRU-13.

Persempadanan semula kawasan pilihanraya

Satu senjata ampuh yang mungkin masih lagi menjadi talian hayat BN ialah, persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Karpal Singh berkata, dengan kejayaan PR menambahkan bilangan kerusinya di Sarawak, BN tidak akan berani memanggil pilihan raya umum untuk beberapa bulan ini.

"Saya tak fikir kepimpinan BN berani membuat pilihan raya umum untuk beberapa bulan ini," kata Karpal.

Selepas PR berjaya mengecil kemenangan BN di kawasan bandar terutama di kawasan pengundi Cina, ini bermakna, BN tidak akan membuat pilihan raya umum sehinggalah mereka mempunyai formula yang jelas untuk mengekang pengaruh Pakatan di kawasan bandar ini.

Menurut Harakahdaily, senjata ampuh yang ada pada BN setiap lapan tahun ialah persempadanan semula kawasan pilihan raya. Yang terakhir ia diadakan pada tahun 2003. Ini bermakna, ia boleh dibuat lagi selepas 2011 iaitu seawalnya 2012.

Selepas kalah teruk kepada PAS dalam pilihan raya umum 1999, kerajaan BN melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat perubahan besar-besaran kepada sempadan kawasan pilihan raya di seluruh Semenanjung.

Melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 itu, BN telah menambah kerusi Parlimen di kawasan Cina setelah bimbang dengan sokongan Melayu kepada PAS pada PRU 1999.

Ekoran itu, negeri-negeri Melayu iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tidak mempunyai sebarang penambahan kawasan Parlimen dalam persempadanan itu untuk menyekat penguasaan PAS melalui kerusi Melayu.

Kawasan-kawasan Parlimen PAS juga dipecahkan dengan memasukkan pengundi Cina ke kawasan mereka. Yang paling terasa dengan pendekatan ini adalah Mohamad Sabu (Kuala Kedah) dan Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Hasilnya kedua-dua tokoh PAS itu kalah dalam pilihan raya umum 2004.

Jika pendekatan ini diyakini oleh BN, pilihan raya umum ke 13 hanya akan diadakan selepas seawalnya tahun 2012 iaitu selepas tempoh matang untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya tiba.

Kerana sekarang ini, pengundi Cina sudah berpaling arah, tidak mustahil kerajaan pimpinan BN akan mengubah kembali persempadanan semula. Tidak mustahil juga kawasan Cina akan dirombak bagi memecah popularasi undi Cina di setiap kawasan bandar.

Sebelum ini, Najib dalam temubualnya bersama Reuters baru-baru ini, beliau memberitahu akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

Najib turut mengulas, BN akan menggunakan pengalaman di Sarawak ini sebagai satu medan ujian untuk menambah kemampuan serta persediaan, dan juga pengetahuan tentang apakah kaedah yang paling tepat mencapai kejayaan apabila sampai pada masanya untuk pilihan raya umum akan datang, lapor Bernama.

Sebagai indikator, keputusan pilihanraya Sarawak baru-baru ini dijadikan penyebab BN akan bertindak untuk kekal berkuasa termasuk menjalankan persempadanan semula sebelum PRU-13 nanti.
Dikuasakan oleh Blogger.