Header Ads

PRU Sarawak: Najib akur dengan tekanan

Dilihat sebagai sudah merasai rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Sarawak terhadap Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Datuk Seri Najib Razak dalam mesej pertama sempena kempen enam hari menjelang hari penentuan Sabtu ini menegaskan perubahan kepimpinan akan dilaksanakan secepat mungkin selepas pilihan raya.


Najib Razak berucap di hadapan sekitar 1,000 hadirin di Kuching kelmarin. | foto The Malaysian Insider
Berucap pada perhimpunan 1 Malaysia di stadium tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini malam ini, Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN menggesa orang ramai tidak risau mengenai kedudukan Taib yang telah pun bersetuju untuk meletakkan jawatan apabila tiba masa yang sesuai.

“Percayalah saya, percayalah saya, apabila tiba masa yang sesuai, kami akan laksanakan yang ini (peralihan kepimpinan). Jangan cepat dan percaya dengan pembohongan pembangkang,” kata Najib.

Najib berjanji bahawa perubahan dalam kepimpinan tertinggi sudah pun disusun dan “perubahan secara tiba-tiba” akan menyebabkan ketidaktentuan di negeri bumi Kenyalang itu.

“Tuan-tuan dan puan-puan, jangan risau. Kami telah mengadakan perancangan agar perubahan akan berlaku dalam kepimpinan tinggi Sarawak, sebagaimana telah dirancang dan perubahan yang telah disusun,” katanya lagi.

Presiden Umno ini tiba di Kuching petang ini dalam usaha mengetuai kempen pilihan raya yang tinggal enam hari menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Najib dijadual untuk menghabiskan enam hari di Sarawak, sesuatu yang tidak pernah disaksikan ketika pilihan raya negeri itu.

Malah ini kali pertama sejak 1987 kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan.

Beliau memberi jaminan itu ketika kempen pilihan raya terus dibayangi dakwaan mengenai rasuah dan salah guna kuasa Taib, yang merupakan ketua menteri paling lama berkuasa itu.

Kepimpinannya genap 30 tahun pada 26 Mac lalu.

Petang tadi, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa langkah Najib sendiri “mengetuai” BN Sarawak sepanjang kempen enam hari yang berbaki menunjukkan Taib telah pun gagal dalam usaha mempertahankan bumi Kenyalang. -The Malaysian Insider
Dikuasakan oleh Blogger.