Header Ads

Real Madrid bertambah sukar, kalah mengejut kepada Sporting Gijon di laman sendiri

MADRID - Rekod tanpa kalah Jose Mourinho (gambar) sebagai pengurus pasukan kelab sepanjang 150 perlawanan di gelanggang sendiri berakhir awal pagi semalam.

Ia gara-gara kekalahan mengejut 0-1 Real Madrid kepada Sporting Gijon di Santiago Bernabeu.


Para pemain Sporting Gijon meraikan kemenangan 1-0 ke atas Real Madrid dalam aksi La Liga kelmarin di Santiago Bernabeu. | foto Getty Image
Malah kekalahan itu turut menyukarkan lagi hasrat Real mengejar pendahulu Liga Sepanyol, Barcelona yang kini berkelebihan lapan mata dengan saingan berbaki lapan perlawanan.

Gol kemenangan Gijon dijaringkan oleh Miguel de las Cuevas pada minit ke-78 untuk memberikan Mourinho kekalahan pertama di laman sendiri dalam tempoh sembilan tahun.

Sebagai rekod, kali terakhir Mourinho mengalami kekalahan di gelanggang sendiri apabila bekas kelabnya, FC Porto tewas 2-3 kepada Beira Mar pada Februari 2002.

Ia juga kekalahan pertama Real di Santiago Bernabeu musim ini setelah mereka memenangi kesemua 14 perlawanan sebelum ini.

"Secara matematiknya, pemburuan liga masih belum berakhir tetapi dengan jurang lapan mata, ia sudah dianggap mustahil.

"Nasib merupakan sebahagian daripada bola sepak. Itulah yang diperoleh lawan kami pada perlawanan ini.

"Malah kami juga turun tanpa Cristiano Ronaldo, Marcelo, Karim Benzema dan Xabi Alonso," kata Mourinho.

Namun, hanya satu perkara positif buat Real pada aksi awal pagi semalam ialah kembalinya penyerang Argentina, Gonzalo Higuain yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.