Header Ads

Safee dinobat Atlit Lelaki Pilihan Berpasukan terbaik Malam Anugerah Astro Arena

Kejayaan membantu skuad kebangsaan merangkul kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010 dan kemudiaannya muncul pemain pertama tempatan bermain di liga luar negara nyata melayakkan Safee Sali untuk dinobatkan penerima anugerah Atlit Lelaki Pilihan Berpasukan Malaysia sempena 'Malam Keraian Sukan Malaysia' bagi meraikan ulang tahun pertama Astro Arena yang berlangsung malam tadi di JW Marriot, Kuala Lumpur.


Safee Sali bersama trofi selaku penjaring terbanyak ketika Kejohanan Piala AFF Suzuki 2010.
Safee yang diundi oleh para peminat tempatan menerusi laman www.arena.my mendahului calon-calon lain seperti Amin Rahim (Hoki), S. Kumar (Hoki), Safiq Rahim (Bola sepak) dan Koo Kien Keat (Badminton), dengan sebanyak 52% undian memihak kepadanya.

Anak kelahiran Selangor tersebut bukan sahaja berjaya membantu skuad kebangsaan melakar sejarah, malahan muncul pemain pertama negara muncul penjaring terbanyak kejohanan berprestij tersebut.

Di samping itu dia juga telah melahirkan fenomena baru buat bola sepak tempatan.

Menyedari keupayaan dan sentuhan berbisa yang dimilikinya, tidak hairanlah pemain berusia 27 tahun tersebut menjadi tumpuan serta buah mulut para peminat bola sepak, ia terbukti apabila Safee telah dipancing kelab dari Indonesia iaitu Pelita Jaya yang kini menjadi tempat Safee menimba pengalaman.

"Saya berterima kasih ke atas anugerah yang diberikan kepada anak saya, saya pasti dia juga menghargai anugerah yang diterimanya ini," demikian kata bapa Safee, Mohd Sali yang menerima anugerah sebagai wakil kepada anaknya yang tidak dapat hadir kerana berada di Indonesia.

Manakala bagi kategori Atlit Wanita Pilihan Berpasukan pula menyaksikan penembak negara Nur Ayuni Abd Halim telah terpilih untuk menerima anugerah tersebut berdasarkan pencapaiannya merangkul pingat emas semasa Sukan Komanwel 2010.

Seorang lagi pemain bola sepak kebangsaan iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat turut menerima anugerah iaitu bagi kategori Atlit Muda Pilihan dengan undian sebanyak 83% memihak kepadanya.

Dua lagi kategori ialah Kebangkitan Pilihan yang menjadi milik buat atlit angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim dan akhbar Kosmo pula terpilih untuk menerima Anugerah Khas Meja Sukan Pilihan (Media Cetak) sebagai tanda penghargaan di dalam memartabatkan sukan tempatan negara.

Selain menerima anugerah, kesemua atlit yang menerima anugerah 'Malam Keraian Sukan Malaysia' tersebut juga telah terpilih selaku Duta Baru untuk pihak Astro Arena pada tahun 2011. -D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.