Header Ads

Saman ekor: Bukan tangguh tapi hapus terus - KASE

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menyambut baik pengumuman Timbalan Menteri Pengangkutan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk menangguhkan penyenaraian hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen tetapi menegaskan saman ekor perlu dihapuskan sama sekali.


Mahfuz Omar
Pengerusi Kase Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan Kabinet itu telah mengesahkan dakwaan dan desakan pihaknya selama ini iaitu penyenaraian hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu adalah salah, malah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami ingin mendesak kerajaan agar terus menarik balik tindakan senarai hitam, bukan hanya menangguhkan sahaja.

“Penangguhan tidak bermakna apa-apa kerana pada bila-bila masa sahaja boleh dilaksanakan semula.

“Cukuplah duit rakyat dikutip selama ini sehingga 1 April lalu,” kata beliau sambil menegaskan “kerajaan mempermainkan hak” rakyat.

Tempoh penyenaraian hitam ditangguhkan sehingga akhir Februari lalu dan kemudian dilanjutkan sehingga 10 Mac lalu bagi membolehkan saman dikeluarkan polis diselesaikan dengan diskaun.

Kase dimulakan tahun lalu bagi mendesak kerajaan menghapuskan saman ekor.

“Semasa mengumunkan perkara tersebut di Dewan Rakyat (23 Mac lalu), Timbalan Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa keputusan penangguhan senarai hitam membabitkan Notis Pol 170A (iaitu saman rkor) tersebut adalah atas nasihat Jabatan Peguam Negara bahawa terdapat satu kes yang sedang dalam proses rayuan.


Bukan tangguh aje, tapi hapuskan terus!
“Kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan ini sekali lagi dengan jelas telah menunjukkan bahawa tindakan kerajaan yang selama ini menyenarai hitam pemilik kenderaan dan pemegang lesen berasaskan Notis Pol 170A adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang kerana sudah terdapat kes di mahkamah yang telah memutuskan bahawa tindakan senarai hitam berasaskan sesuatu perkara yang belum dibuktikan adalah salah,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

Oleh itu kata Mahfuz, yang juga Naib Presiden, pihaknya percaya kes yang dimaksudkan adalah kes Mahkamah Tinggi Kuching yang menjadi sandaran hujah Kase selama ini iaitu kes Leonard Lim Yaw Chiang melawan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada 2009.

“Kami merasakan sesuatu yang aneh dan pelik apabila satu keputusan mahkamah telah dibuat pada 2009 lagi tetapi kerajaan langsung tidak mengambil endah, malah meneruskan tindakan senarai hitam yang jelas bertentangan dengan keputusan mahkamah tersebut,” kata beliau.

Malah menurut Mahfuz, kes yang dirujuk tersebut dikendalikan sendiri oleh Penasihat Undang-Undang Kanan Persekutuan yang mewakili Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak.

Oleh itu katanya, mustahil Penasihat Undang-Undang Kanan tersebut tidak memberikan laporan kepada Jabatan Peguam Negera dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pengangkutan tentang kesan kes tersebut.

“Jika laporan dan nasihat telah diberikan tetapi kerajaan tidak mengikut nasihat tersebut, ia sesuatu yang malang kerana dengan jelas kerajaan tidak menghiraukan nasihat serta tidak menghormati keputusan mahkamah.

“Jika kerajaan tidak dinasihati, adalah malang kerana kerajaan mempunyai Penasihat Undang-undang yang gagal menjalankan tugas mereka,” kata Mahfuz lagi.

Mahfuz menambah, apa yang malang ialah segala tindakan kerajaan tersebut dengan jelas telah menindas dan membebankan rakyat.

“Rakyat dihukum, ditindas, dipaksa membayar kompaun walaupun kesalahan mereka belum dibuktikan. Rakyat dipaksa beratur, bersesak-sesak di kaunter-kaunter bayaran kompaun kerana takut dengan gertakan kerajaan untuk menyenarai hitam jika kompaun tidak dibayar,” katanya sambil menambah, rakyat ditekan sehingga ada yang terpaksa berhabis duit tabungan, terpaksa membuat pinjaman peribadi daripada bank semata-mata untuk membayar kompaun kerana takut disenarai hitam.

Kini menurut Mahfuz, sekarang dengan bangganya kerajaan mengumumkan penangguhan senarai hitam.

“Alasannya kerana menunggu rayuan kes di mahkamah. Kenapa sebelum ini tidak menunggu keputusan rayuan tersebut terlebih dahulu?

“Selepas rakyat diperlakukan sedemikian rupa, baru sekarang tindakan tersebut ditarik balik? Malah Kerajaan melalui Timbalan Menteri Pengangkutan begitu bangga mengumumkan bahawa rakyat seharusnya bergembira dengan keputusan kerajaan menangguhkan senarai hitam tersebut,” katanya.

Justeru, Mahfuz bertanya mengapa rakyat harus gembira setelah mereka diperlakukan sedemikian?

“Kenapa rakyat harus gembira dipermain-mainkan oleh kerajaan? Kenapa rakyat harus gembira dengan penindasan dan paksaan kerajaan terhadap mereka?” katanya lagi.

Malah tegas Mahfuz, Kase tetap dengan pendiriannya sejak dari dulu lagi bahawa tindakan kerajaan menyenarai hitam adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

“Segala desakan kami selama ini akhirnya jelas dan nyata kebenarannya. Selain itu, kami sekali-kali tidak akan berdiam diri dan berpuas hati setakat ini sahaja.

“Kami ingin nyatakan bahawa kami tidak akan berhenti dengan desakan kami agar kerajaan menghapus kira kesemua saman ekor (Notis Pol 170A) yang dikeluarkan sebelum 1 Februari 2011,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya juga mahu kerajaan khasnya JPJ dan polis agar menghormati dan mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Jangan menguatkuasakan undang-undang tanpa mengikut prosedur serta undang-undang itu sendiri. Seterusnya kami juga mendesak kerajaan khasnya JPJ dan polis agar membuktikan segala kesalahan yang didakwa dilakukan oleh pengguna-pengguna jalanraya jika terdapat bukti kukuh terhadap mereka.

“Buktikan dakwaan di mahkamah sebelum sebarang hukuman dilaksanakan,” katanya lagi. -The Malaysian Insider
Dikuasakan oleh Blogger.