Header Ads

Sebar bahan lucah tidak salah di sisi undang-undang Malaysia?

WarkahDaily – Salah ke tak salah ni? Kalau salah, kenapa yang menyebar (tayang) video seks tu tak ditangkap, kemudian media tempatan yang paparkan gambar (cut video) kat dada akhbar mereka berkenaan tidak ditangkap dan didakwa?

Ini bermakna, perbuatan itu tidak menjadi kesalahan kot pada undang-undang negara ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Muhamad Razak Idris (Gambar) berkata, jika penyebaran bahan lucah tidak diambil tindakan, maka ia akan dianggap suatu yang sah dan tidak melanggar undang-undang negara.

“Kegiatan ini jika tidak diambil tindakan akan menjadi prisidion bahawa penyebaran bahan lucah adalah suatu yang sah dan tidak melanggar undang-undang negara,” katanya.

Tambah beliau lagi, Abim juga menilai penyiaran video itu akan meninggalkan kesan yang negatif terhadap pembentukan tatasusila serta moral masyarakat di negara ini, lapor harakahdaily semalam.

Menurutnya, perkara sedemikian rupa tidak pernah berlaku sepanjang catatan sejarah politik Malaysia.

“Ini sekaligus membangkitkan persoalan kepada kita apakah norma-norma sedemikian ingin kita tonjolkan dan hidangkan kepada generasi muda dan masyarakat dalam dan luar negara sebagai satu keperluan kepada usaha pembangunan negara ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, secara prinsipnya Abim sangat kecewa terhadap penyebaran ini kerana menambahkan satu lagi episod duka dan hitam dalam sejarah negara ini.

“Sedang masyarakat berbicara dan berbahas usaha membenteras gejala sosial di dalam masyarakat, pada masa yang sama kita membuka ruang kepada percambahan perbincangan perkara tak bermoral dari sudut penyebarannya,” ujarnya.

Abim juga, kata beliau ingin meneegaskan kepentingan nilai, prinsip dan etika kewartawanan dan penyiaran yang harus dijunjung di kalangan pengamal media kerana mereka memikul tanggungjawab sosial yang sangat berat.

Tambahnya, keutuhan prinsip Rukun negara bagi menjaga "Kesopanan dan kesusilaan" perlu diterjemah di dalam tindakan segenap masyarakat malah ia berkait juga dengan "Kedaulatan undang-undang" sebagai elemen pembangunan negara.

Sehubungan dengan itu, Abim menggesa PDRM supaya mempercepatkan proses siasatan mengenai penyebaran video seks tersebut, di samping mengenal pasti individu yang terlibat untuk dibicarakan menerusi pengadilan yang telah ditetapkan dengan segera.

Beliau menambah, Abim ingin menegaskan menolak sebarang provokasi untuk mengaibkan peribadi seseorang memandangkan perbuatan tersebut adalah haram dan bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam.

Justeru, katanya perbuatan tersebut iaitu provokasi terhadap peribadi seseorang seharusnya tidak boleh dijadikan alat bagi mencapai sesebuah tujuan dan memenuhi kepentingan tertentu.

“Dalam kesempatan ini, Abim ingin menyeru umat Islam supaya agar menjauhi perbuatan mengaibkan peribadi seseorang di samping meningkatkan doa dan menunaikan solat hajat untuk memohon kesejateraan serta perlindungan dari sebarang malapetaka dan bencana untuk umat Islam serta seluruh pelusuk masyarakat di negara ini,” katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.