Header Ads

Selangor rampas tahta Liga Super

SHAH ALAM: Dua gol dalam 10 minit terakhir memastikan Selangor memungut tiga mata penuh apabila menewaskan Harimau Muda A 2-1 di Stadium Shah Alam.


Pemain Harimau Muda cuba bersaing dalam perebutan bola yang cuba diselamatkan penjaga golnya.
Jaringan Asraruddin Putra Omar (min-81) dan Amirulhadi Zainal pada minit ke-85 membolehkan Selangor menang tipis meskipun ketinggalan satu gol di babak pertama.

Mohd Fandi Othman meletakkan Harimau Muda A di hadapan pada minit keenam selepas menolak masuk bola muntah hasil percubaan rakannya, Wan Zack Haikal yang gagal ditampan kemas penjaga gol Selangor, Iqbal Suhami.

Selangor cuba mencari gol penyamaan pada separuh masa pertama melalui beberapa percubaan bahaya tetapi gagal.

Pada minit ke-10, situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Harimau Muda A, Muhd Zamir Selamat gagal disempurnakan Amirulhadi untuk menghasilkan gol penyamaan.

Percubaan sepakan akrobatik dari Mohd Amri Yahyah pula menyusul tetapi tersasar jauh melepasi paling gol.

Anak-anak buah Ong Kim Swee perlu diberi pujian kerana berjaya mengekang serang pasukan Selangor pada separuh masa pertama.

Sebaik sepak mula separuh masa kedua, pasukan bimbingan K. Devan kelihatan lebih bertenaga dalam misi mencari gol kemenangan.

Percubaan demi percubaan dilakukan menguji benteng keras Harimau Muda A.

Segalanya terhasil apabila pemain gantian, Asraruddin Putra Omar menyamakan kedudukan hasil tandukkan dari sepakan sudut yang diambil oleh Mohd Syafiq Rahim.

Gol kemenangan Selangor pula hadir lima minit selepas itu hasil hantaran Mohd Fitri Shazwan yang berjaya disambar Amirulhadi untuk memberi Selangor tiga mata penuh.

Jurulatih Selangor, K. Devan ternyata sangat bergembira dengan kemenangan tersebut.

"Saya amat gembira dengan kemenangan ini dan pujian harus diberikan kepada para pemain kerana berjaya bangkit di separuh masa kedua.

"Ia adalah kemenangan yang amat penting untuk kami," ujar Devan.

Bagi jurulatih pasukan Harimau Muda A, Ong Kim Swee pula, penyudah yang kurang berkesan merupakan punca kekalahan pasukannya.

"Kami bermain dengan agak baik dan banyak juga serangan dilakukan.

"Cuma penyudah sahaja yang tumpul dan banyak peluang disia-siakan begitu sahaja," ujar Kim Swee. -D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.