Header Ads

Suku akhir pertama Liga Juara-juara: Real Madrid, Schalke berpesta gol

MADRID: Real Madrid berpesta gol apabila membelasah Tottenham Hotspurs, yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain, 4-0 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-juara yang berlangsung di Santiago Bernabeu.


Adebayor melakukan tandukan padu ke arah gawang Tottenham Hotspur untuk gol kedua Real Madrid di minit ke-57. Real menang 4-0 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-juara yang berlangsung di Santiago Bernabeu awal pagi tadi. | foto AP
Dua gol hasil tandukan Emmanuel Adebayor serta gol minit akhir oleh Angel di Maria dan Cristiano Ronaldo memusnahkan pasukan kendalian Harry Redknapp serta memastikan tugas berat buat Spurs dalam perlawanan kedua minggu depan.

Real bermula garang apabila sepakan sudut dari sebelah kanan ditanduk kemas oleh Adebayor ke dalam gawang Spurs, menewaskan penjaga gol Spurs Heurelho Gomes dan derita mereka bertambah apabila Peter Crouch diperintah keluar padang setelah mengasari Marcelo seawal minit ke-15 sekaligus memaksa mereka bertahan di sepanjang perlawanan itu.

Setelah bertahan dengan baik pada separuh masa pertama, Spurs akhirnya tumbang apabila gol kedua Adebayor pada minit ke-57 memusnahkan keyakinan Spurs, membolehkan Angel di Maria menambah jumlah jaringan Real dengan satu gol cantik yang menerjah gawang Spurs pada minit ke-72 untuk gol ketiga Real.

Ronaldo memastikan kelebihan berharga buat pengurus Real, Jose Mourinho apabila menamatkan pesta gol pada minit-minit akhir perlawanan apabila sepakan leretnya gagal ditangkap dengan kemas oleh Gomes.


Pemain-pemain Schalke 04 meraikan kemenangan mereka 5-2 ke atas Inter Milan di Stadium San Siro di Milan, Itali awal pagi tadi. | foto AP
Dalam satu lagi aksi suku akhir, juara bertahan Inter Milan dimalukan di laman sendiri apabila dibelasah 5-2 oleh wakil Jerman, Schalke dalam perlawanan penuh drama di San Siro, Milan.

Inter berjaya mendahului permainan sebanyak dua kali namun kerapuhan pertahanan mereka menyaksikan Schalke mudah menjaringkan gol-gol mereka dan masalah Inter bertambah apabila Cristian Chivu dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-62.

Dua gol Inter dijaringkan oleh Dejan Stankovic dan Diego Milito namun jaringan-jaringan oleh Joel Matip, Edu dengan dua gol, Raul serta gol sendiri Andrea Ranocchia memastikan Schalke selesa menanti kunjungan Inter minggu depan. -AFP
Dikuasakan oleh Blogger.