Header Ads

Vettel terus rentak cemerlang, Heidfeld ceriakan peminat tempatan

Permulaan baik dan percaturan strategi tepat memberikan juara dunia dari pasukan Red Bull Racing, Sebastian Vettel kemenangan dalam perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia-PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang semalam, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas senarai pemandu keseluruhan dengan mata maksimum 50.


Vettel dari Red Bull Racing(tengah) juara Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia-PETRONAS semalam, Button (McLaren) tempat kedua, ketiga Heidfeld dari Lotus-Renault telah menceriakan peminat tuan rumah.
Selepas mendominasi sepenuhnya perlumbaan pembuka tirai di Melbourne, pemandu Jerman yang muncul juara dunia termuda pada usia 23 tahun, itu sukar dicabar pemandu pasukan lain termasuk Jenson Button (McLaren) yang menduduki tempat kedua, diikuti pemandu Lotus-Renault, Nick Heidfeld.

Ia kemenangan ke-12 dalam kariernya sejak 2007 dan kedua berturut-turut di Sepang, apabila dia menghabiskan perlumbaan 56 pusingan yang mendebarkan di bawah cuaca mendung itu dengan catatan masa 1 jam 37 minit.39.832 saat; 3.2 saat di depan Button, dan 25s di depan Heidfeld yang bersaing sengit dengan rakan sepasukan Vettel, Mark Webber pada detik akhir perlumbaan.
“Ini hari yang menyeronokkan dan permulaan baik itu sangat penting tetapi saya agak terperanjat apabila bukan Lewis (Hamilton), sebaliknya kereta berwarna hitam Lotus-Renault di belakang saya ketika melepasi Selekoh 1 (T1).
“Itu bermakna perkara baik kerana saya boleh menjarakkan diri di depan. Hanya pada baki beberapa pusingan, Jenson cuba memberi saingan.

Saya gembira dengan apa yang mampu saya lakukan di sini.

“Secara keseluruhannya ia tetap perlumbaan sukar kerana kami tidak tahu sejauh mana boleh memerah enjin, menjimatkan tayar dan saya juga mengalami masalah sistem pemulihan tenaga kinetik (KERS) pada jentera dan tidak menggunakannya dalam perlumbaan,” kata Vettel yang mahu mengekalkan momentum itu ke GP China di Shanghai, hujung minggu ini.

Mengakui pernah bertanyakan Button dan juara dunia tujuh kali Michael Schumacher betapa pentingnya permulaan lancar dari petak perlumbaan, Vettel bagaimanapun berkata, dua kemenangan dari dua pusingan setakat ini masih dianggap terlalu awal untuknya mengekalkan kejuaraan tetapi berkata: "Saya berbangga dengan diri saya dan pasukan ini, tetapi kami masih perlu bersikap tenang kerana perjalanan perlumbaan musim ini masih jauh."

Sementara itu, Button, juara dunia 2009 ketika bersama GP Brawn, berpuas hati dengan tempat kedua tetapi menyifatkan perlumbaan semalam sebagai mengelirukan kerana faktor cuaca dan kadar kehausan tayar.

"Memang bagus dapat kutip mata di sini tetapi selepas hentian pit pertama, tayar kurang bagus. Hanya beberapa pusingan selepas itu baru saya semakin laju. Vettel dan Red Bull adalah pemandu dan pasukan yang perlu ditewaskan selepas ini,” katanya.

Lotus-Renault GP terus rentak cemerlang depan peminat tempatan

BUKAN Vitaly Petrov tetapi Nick Heidfeld yang menyimpul senyuman peminat tempatan apabila melakar kejayaan cemerlang kali kedua berturut-turut buat pasukan Lotus-Renault GP bagi menaiki kedudukan podium pada perlumbaan Formula Satu (F1) pusingan kedua di Grand Prix Malaysia, semalam.

Selepas sekadar menamatkan perlumbaan di Melbourne di kedudukan ke-12, Heidfeld jelas bersemangat untuk memperbaiki kedudukannya seterusnya menamatkan rasa sangsi kemampuan pelumba veteran Jerman ini bagi menggantikan posisi Robert Kubica yang mengalami kemalangan di awal musim, sekali gus mencipta kejayaan manis buat pasukan berkaitan Malaysia itu di laman sendiri.

Heidfeld yang memulakan perlumbaan di petak ketiga bersama Fernando Alonso (Ferrari) dengan agresif memintas tiga pelumba di depan termasuk Mark Webber dan Lewis Hamilton pada selekoh pertama namun semuanya berubah selepas hentian pit pertama apabila dipintas untuk kembali ke posisi kelima.

"Ia perlumbaan yang baik. Saya memulakan perlumbaan dengan sempurna dan berjaya meraih kedudukan kedua selepas selekoh pertama namun kemudian mengalami kesulitan di hentian pit selain hujan dengan tiga pelumba lain mengambil peluang untuk memintas saya.

"Ia keputusan yang baik buat pasukan dan ia juga petunjuk jelas kami bakal mencabar tahun ini." Begitupun, nasib malang menimpa Petrov yang mengalami masalah teknikal dan terpaksa menamatkan perlumbaan ketika perlumbaan berbaki empat pusingan sebelum berakhir.

Perlumbaan di Sepang meletakkan pasukan Lotus-Renault di kedudukan keempat keseluruhan dalam kategori pengeluar dengan 30 mata di belakang Red Bull (72), McLaren (50) dan Ferrari (36) menuju perlumbaan di China, minggu depan. -BHarian
Dikuasakan oleh Blogger.