Header Ads

Zionis Israel terus gempur Gaza, 4 terbunuh

BANDAR RAYA GAZA: Pesawat tempur Israel melancarkan serangan bertalu-talu terhadap sasaran di Gaza semalam menyebabkan empat pejuang Palestin terbunuh manakala pergerakan Hamas bertindak balas dengan melancarkan 17 peluru berpandu Grad ke selatan negara Yahudi itu dalam ketegangan baru sejak perang meletus dua tahun lalu.


ASKAR Zionis memantau keadaan selepas serangan pejuang Palestin mengenai sebuah bas di kawasan penempatan Yahudi di selatan Israel.
Dalam konflik terbaru, 18 warga Gaza terbunuh dan 65 cedera akibat serangan udara Israel yang bertindak balas atas serangan roket anti kereta kebal Hamas ke atas sebuah bas sekolah Yahudi yang mencederakan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan pemandunya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa serangan bas itu melampaui batas dan negaranya akan membalas dendam.

Pada masa sama, pemimpin Hamas juga menegaskan, mereka tidak akan berdiam diri jika Israel melakukan serangan berterusan.

“Hamas pasti bertindak balas atas langkah Israel memperhebat serangan. Tindakan kami terhad tetapi kami memberi amaran kepada penjajah supaya tidak meneruskan jenayah mereka,” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri.

Beberapa peluru berpandu pejuang meletup di tempat terbuka di bandar Ashkelon dan Beersheba manakala tujuh lagi dipintas sistem pertahanan ‘Iron Dome’ rejim Zionis itu.
Sebutir mortar mengenai bangunan kerajaan tempatan yang menyebabkan kerosakan tetapi tiada yang cedera.

Serangan udara pesawat tempur Israel mengenai sebuah kereta dekat Rafah di selatan wilayah itu awal semalam menyebabkan tiga orang dipercayai pejuang Hamas maut.

Hamas menyatakan, seorang pemimpin kanan bersenjatanya, Tayser Abu Snima, 29 dan dua pembantu beliau terbunuh.

Tentera Israel menuduh Abu Snima terbabit dalam serangan terhadap askar dan orang awam Yahudi.

Hamas juga mendedahkan, seorang lagi pejuangnya maut kerana bedilan kereta kebal dekat perkampungan Jabalya.

Keseluruhannya, angka kematian warga Palestin sejak ketegangan meningkat Khamis lalu ialah 11 pejuang, seorang anggota polis dan enam orang awam. -AP
Dikuasakan oleh Blogger.