Header Ads

Bank Negara dijangka kekalkan OPR 2.75% tetapi menaikkan SRR 1 peratus

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus tetapi sebaliknya menaikkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak satu peratus, kata AmResearch Sdn Bhd.

Ia berkata tekanan inflasi Malaysia dalam bulan-bulan kebelakangan ini adalah disebabkan faktor desakan kos, berikutan harga minyak mentah global dan komoditi yang tinggi.

"Jadi, kami percaya kenaikan mungkin tidak perlu dalam persekitaran desakan kos seumpama ini," kata firma penyelidikan itu dalam terbitan "Economic Update"nya menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari esok.

Ia juga maklum yang pada bulan Mac, kekukuhan ringgit pada hakikatnya telah mengurangkan impak ke atas inflasi yang diimport.

"Sehubungan itu, kami mengagak yang bank pusat akan membenarkan kenaikan berperingkat ringgit dalam jangka pendek dan bukannya kenaikan dalam OPR, yang boleh membantutkan proses pemulihan," katanya.

Untuk tahun ini, AmResearch telah mengunjurkan inflasi dalam lingkungan antara 3.0 dan 3.5 peratus, bergerak lebih pantas dalam separuh kedua tahun ini.

"Walaupun persekitaran kadar faedah yang kukuh iaitu 2.75 peratus mungkin sesuai untuk aktiviti-aktivit ekonomi, kami tidak menolak kemungkinan kenaikan sedikit iaitu sebanyak 25 mata asas dalam separuh kedua 2011, paling awal menjelang Julai tahun ini," katanya.

Untuk esok, ia berkata kenaikan satu peratus dalam SRR kepada tiga peratus mungkin sebagai langkah berjaga-jaga bagi menguruskan risiko pengumpulan mudah tunai. -Bernama
Dikuasakan oleh Blogger.