Header Ads

Barcelona dinobat juara liga Sepanyol buat kali ketiga berturut-turut

SPAIN: Barcelona akhirnya dinobat juara liga Sepanyol buat kali ketiga berturut-turut selepas seri 1-1 dengan Levante lewat pagi tadi dengan masih mempunyai baki dua perlawanan sebelum tamat saingan musim ini.


JUARA: Para pemain Barcelona meraikan kejayaan mereka merangkul kejuaraan La Liga selepas seri 1-1 semasa menentang Levante pada 11 Mei 2011. | foto AP
Satu mata sudah memadai buat Barca untuk mempertahankan gelaran tersebut dan kejayaan ini hampir mengulangi kejayaan pada 1993 apabila skuad yang dibintangi Johan Cruyff merangkul gelaran juara liga sebanyak empat kali berturut-turut.

"Ia satu perkara yang menggembirakan untuk meraih gelaran juara La Liga dan para peminat wajar mendapat kredit atas kejayaan ini," ujar Xavi.

Keputusan ini memberi Barca kelebihan jurang enam mata serta jauh meninggalkan pencabar terdekat Real Madrid yang dilihat sukar untuk mengejar.

Meskipun sekadar memerlukan keputusan seri, Pep Guardiola tidak mengambil mudah di dalam perlawanan tersebut apabila menurunkan hampir ke semua kesebelasan utama yang terdiri daripada Lionel Messi, David Villa dan Xavi.

Gol pembukaan dijaringkan terlebih dahulu menerusi tandukan pemain tengah Seydo Keita pada minit 27 separuh masa pertama namun kelebihan tersebut tidak kekal lama apabila penyerang Ecuador, Felipe Caicedo menyamakan kedudukan pada minit ke-40.

Misi seterusnya Guardiola di dalam merebut gelaran juara berganda kini tertumpu kepada final Liga Juara-Juara menentang Manchester United di Wembley pada 28 Mei yang dijangka akan menjadi satu perlawanan klasik dan hebat. -D5 Sports
Dikuasakan oleh Blogger.