Header Ads

Hukuman simbah asid dibalas simbah asid di Iran

WarkahDaily – Simbah asid ke muka orang lain semakin menjadi-jadi mutakhir ini. Di negara kita juga tidak terlepas dari kejadian terbabit.

Sudah 23 kes dilaporkan berlaku di negara kita semenjak Mac lalu. Kejadian berlaku di sekitar Lembah Klang dan dilaporkan orang yang menyimbah asid dan mangsa simbahan asid tidak mengenali antara satu sama lain.

Dikatakan, kejadian simbah asid itu berlaku di tempat terbuka dan wanita bertudung menjadi mangsa simbahan cecair berkenaan.

Setakat ini, tiada laporan tangkapan dibuat.


AMENEH menunjukkan gambarnya sebelum diserang asid di Teheran.
Di Teheran, Iran, seorang lelaki yang didapati bersalah menyimbah asid ke muka seorang wanita telah dijatuhi hukuman simbah asid (sama dengan jenayah yang dilakukannya) oleh mahkamah negara itu.

Majid Movahedi, 30, melakukan perbuatan kejam itu selepas mangsa, Ameneh Bahrami beberapa kali menolak lamarannya untuk berkahwin, sehingga mengakibatkan wajah wanita itu rosak teruk selain menyebabkannya menjadi buta dalam serangan pada 3 November 2004.

Mahkamah mengarahkan Majid dibutakan menggunakan asid selepas lelaki itu mengaku bersalah atas jenayah itu.

Hukuman itu sepatutnya dijalankan kelmarin, namun pihak berkuasa Iran menangguhkannya selepas campur tangan masyarakat antarabangsa, termasuk Britain, yang mengecam hukuman itu.

Ameneh berkata, pada awalnya dia mahu menjalankan sendiri hukuman itu yang ditegaskan sebagai sah dari segi undang-undang agama.

“Tetapi saya takut asid tumpah di tangan saya, jadi lebih baik doktor yang melakukannya. Saya menunggu selama enam tahun untuk hari ini,” katanya, kelmarin.


MAJID MOVAHEDI
Menurut laporan berita Agensi, perbuatan lelaki berkenaan menyimbah asid adalah kerana kecewa cintanya ditolak wanita berkenaan yang juga bekas rakan pelajarnya di Universiti Teheran.

Mahkamah pada awalnya menjatuhkan hukuman penjara ke atas tertuduh dan memberikan pampasan berjumlah kira-kira RM95,000 kepada mangsa namun ianya ditolak oleh wanita berkenaan dan mahu penyerangnya itu menderita sepertinya.

“Saya mahu hukuman qisas dilaksanakan. Saya sudah bersedia untuk menjalankan tugas itu. Hanya dengan membutakan dia baru saya boleh tenteram,” kata Ameneh.
Dia berkata, segala rayuan, supaya dia membatalkan hasratnya, termasuk daripada ibu lelaki itu sudah terlambat.

Persediaan dibuat untuk membolehkan Ameneh menyuntik asid ke dalam mata Majid di sebuah hospital semalam, di bawah pengawasan doktor. Ameneh dibenarkan menitik 20 titisan asid pada setiap belah mata lelaki itu.
Dikuasakan oleh Blogger.