Header Ads

Jeff Ooi diperintah bayar RM150,000

GEORGETOWN: Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun (gambar) diperintahkan Mahkamah Tinggi di sini untuk membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd Razali Abdullah selepas didapati bersalah menuduh lelaki itu sebagai ekstremis Islam .

Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu selepas mendapati wujud unsur fitnah dalam perkataan yang diungkapkan Jeff dalam tuntutan saman yang dibuat Razali.

Dalam penghakimannya, Vazeer Alam memerintahkan Jeff membayar RM100,000 merangkumi ganti rugi am dan RM50,000 bagi ganti rugi teruk serta faedah lapan peratus atas jumlah berkenaan bermula daripada tarikh penghakiman sehingga selesai bayaran.

Selain itu, Vazeer Alam memerintahkan injuksi terhadap defendan supaya tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu lagi kepada Razali.

“Di dalam pembelaannya, Jeff mendakwa perkataan yang dikeluarkannya terhadap Mohd Razali bersifat ‘fair comment’. Bagaimanapun apa yang mahkamah dapati hasil daripada keterangan saksi-saksi adalah sebaliknya.

“Dua saksi bebas yang dipanggil adalah wartawan akhbar The Star dan Kwang Wah Jit Poh memberitahu mereka mendengar sendiri perkataan ‘mad man’ (lelaki gila) diucapkan defendan terhadap plaintif ketika sidang akhbarnya di Pasar Batu Lanchang di sini. Justeru, perkataan-perkataan fitnah yang digunakan oleh defendan berjaya dibuktikan,” katanya ketika membacakan keputusannya, di sini semalam.

Menurutnya, keterangan pegawai khas kepada Jeff yang mendakwa tidak mendengar perkataan yang diucapkan majikannya itu juga tidak dapat diterima mahkamah kerana saksi berkenaan turut berada di dalam mahkamah sepanjang perbicaraan kes itu berjalan dan dia mendengar semua keterangan yang dibuat saksi-saksi termasuk oleh dua wartawan berkenaan.

“Macam mana keterangannya boleh diterima sedangkan dia juga ada hubungan dengan defendan dalam kes ini. Justeru, dia bukanlah seorang saksi yang bebas,” katanya.

Jeff sebelum ini diberi tempoh memohon maaf kepada Mohd Razali tetapi enggan berbuat demikian.

Untuk rekod, Razali memfailkan saman pada Februari 2010, atas faktor Jeff yang juga Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri membuat kenyataan memfitnahnya berbentuk sindiran secara berulang dan disiarkan dalam surat khabar tempatan, laman web dan portal Internet.

Bagaimanapun, ketika keputusan dibacakan, kedua-duanya tidak hadir.

Razali dilaporkan berada di Mesir menjalankan tugasnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang.

Razali diwakili peguamnya, Abdul Fareed Abdul Gafoor manakala Jeff diwakili Jagdeep Singh Deo. -SH
Dikuasakan oleh Blogger.