Header Ads

Ketua Hakim Negara dimasukkan ke IJN, keadaannya dilaporkan kritikal

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini awal pagi semalam dan keadaannya dilaporkan kritikal selepas pengsan di Hospital Putrajaya.

Hakim tertinggi negara itu, yang berusia 65 tahun, dilaporkan mengalami masalah tekanan darah rendah dan komplikasi jantung, demikian menurut laporan Utusan Malaysia.

Zaki (gambar), yang menjadi Ketua Hakim Negara pada Oktober 2008 sebelum ini dijangka akan bersara 12 September ini apabila mencecah usia 66 tahun.

Laporan Bernama pula menyebut Zaki mengadu mengalami sakit dada ketika dalam perjalanan ke pejabat beliau di Putrajaya pagi semalam.

Beliau kemudian meminta pengawal peribadinya menghantar beliau ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan.

Beliau dirujuk ke IJN selepas doktor di Hospital Putrajaya memeriksa beliau.

Seorang pegawai IJN ketika dihubungi mengesahkan Zaki dimasukkan ke institut itu kira-kira 10.30 pagi dan ketika ini menjalani pemeriksaan yang dikendalikan oleh pakar di hospital berkenaan.

Keadaan beliau dilaporkan stabil. -The Malaysian Insider
Dikuasakan oleh Blogger.