Header Ads

Mubarak mohon maaf kepada rakyat dan rayu untuk diberi pengampunan

KAHERAH: Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak akan memohon maaf kepada rakyat negaranya dan merayu untuk diberi pengampunan, tiga bulan selepas beliau digulingkan.


RAYUAN PENGAMPUNAN: Bekas presiden Mesir yang digulingkan, Hosni Mubarak dan isteri Suzanne akan meminta maaf kepada rakyat Mesir dan menyerahkan aset mereka kepada kerajaan. | foto AFP
Menurut laporan akhbar Mesir, semalam, Mubarak sedang menulis kenyataan maaf yang akan diterbitkan stesen televisyen bagi memohon maaf bagi pihaknya dan keluarga beliau di atas sebarang jenayah yang dilakukan terhadap rakyat.

Mubarak juga dijangka memohon maaf terhadap sebarang perbuatan yang didakwa berpunca daripada maklumat salah yang diberikan oleh penasihat beliau.

Sementara itu, isteri beliau, Suzanne Mubarak mengembalikan wang tunai AS$3.4 juta (RM10.4 juta) dan sebuah villa kepada kerajaan selepas arahan dikeluarkan untuk menahannya selama 15 hari, minggu lalu.

Suzanne dibebaskan daripada tahanan, semalam, selepas penyerahan aset itu namun akan tetap disiasat atas dakwaan rasuah.

Kekayaan keluarga Mubarak dilapor bernilai berbilion ringgit termasuk rumah peranginan berhampiran Laut Mati yang dianggar bernilai AS$36 juta (RM110 juta).

Mubarak, 83, dan Suzanne, 70, kini dirawat di hospital Sharm Al-Sheikh selepas kedua-dua mereka diserang sakit jantung semasa soal siasat.

Mubarak turut didakwa atas dakwaan mengarahkan pembunuhan penunjuk perasaan antikerajaan yang mengadakan protes besar-besaran sehingga berjaya menggulingkan beliau, 11 Februari lalu.

Sekurang-kurangnya 846 orang terbunuh dan lebih 6,000 cedera akibat keganasan pihak berkuasa semasa protes 18 hari itu.

Majlis Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu buat sementara sebelum pilihan raya September depan berikrar akan membawa semua pegawai kerajaan yang menyalahguna kuasa ke muka pengadilan.
Dikuasakan oleh Blogger.